amree21/10/2026 - 15:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Okt — Keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bakal dipertingkat menerusi penempatan unit anjing pengesan atau K9 di lokasi strategik terminal, termasuk balai berlepas, balai ketibaan dan kawasan pengasingan bagasi, mulai 26 Oktober 2026.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada 17 langkah keselamatan yang diperkenalkan bagi memperkukuh aspek pengesanan barangan larangan, meningkatkan kawalan di kawasan tumpuan ramai serta menambah baik perlindungan di zon terhad lapangan terbang berkenaan sendiri.
Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani berkata, penempatan unit K9 akan melengkapi langkah keselamatan sedia ada dan memperkukuh usaha bersama untuk melindungi penumpang, pengunjung serta kakitangan lapangan terbang.
"Kerjasama secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi itu turut membolehkan anggota Keselamatan Penerbangan (AVSEC) memberi tumpuan lebih kepada tanggungjawab utama mereka dalam menjaga keselamatan pengguna dan kemudahan lapangan terbang," jelas beliau dalam kenyataan.

Di kawasan daftar masuk KLIA ujarnya, anjing unit K9 akan membantu pihak berkuasa dalam mengesan lebih awal segala barangan larangan dan mana-mana potensi ancaman keselamatan yang berkaitan dengan penerbangan tertentu.
Unit berkenaan tambah beliau, turut ditempatkan di kawasan pemeriksaan kastam bagi membantu petugas mengesan sebarang bentuk barangan larangan, dadah dan barangan seludup, sekali gus memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan pemeriksaan penumpang.
Selain kawasan yang berurusan secara langsung dengan penumpang, unit K9 juga akan digerakkan di kawasan pengasingan bagasi untuk menyokong pemeriksaan bagasi daftar masuk sebelum dimuatkan ke dalam pesawat atau dipindahkan ke kawasan tuntutan bagasi.
"Pelaksanaan itu akan diselaraskan bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta agensi berkaitan bagi memastikan operasi berjalan secara teratur," kata Mohd Izani.

MAHB jelas beliau, akan turut bertanggungjawab dalam menyelaras prosedur operasi standard (SOP), akses khusus untuk unit K9 dan pengendalinya, serta penyediaan kemudahan sokongan yang bersesuaian di dalam terminal di KLIA.
Sementara itu, satu fasa percubaan juga akan dilaksanakan untuk menilai tahap keberkesanan lokasi penempatan yang dipilih, selain mengenal pasti bentuk pelarasan yang diperlukan terhadap pergerakan penumpang dan jadual penugasan unit K9.
Operasi unit K9 di dalam terminal KLIA merupakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh keselamatan lapangan terbang serta memastikan persekitaran yang selamat, selesa dan bersih untuk semua pengguna. - DagangNews.com






