Unit K9 ditempatkan di KLIA perkemas keselamatan lapangan terbang

Business & Finance
21 Oct 2026 • 4:48 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Bahagian Pengaduan Awam (BPA)

PETALING JAYA: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memperkukuh tahap keselamatan terminalnya menerusi penempatan unit pengesan K9 di lokasi strategik sebagai sebahagian daripada 17 langkah memperketat kawalan keselamatan.

Inisiatif yang berkuat kuasa mulai 26 Oktober itu merangkuti tiga zon utama iaitu Dewan Pelepasan, Dewan Ketibaan serta kawasan pengisihan bagasi bagi mempertingkat kecekapan mengesan barangan larangan dan ancaman keselamatan.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, penempatan unit K9 tersebut bertindak sebagai langkah keselamatan berlapis yang melengkapi sedia ada serta melindungi penumpang, pelawat dan warga kerja lapangan terbang.

“Kerjasama ini juga membolehkan anggota Keselamatan Penerbangan (AVSEC) terus memberi tumpuan kepada tanggungjawab teras mereka dalam melindungi pengguna dan kemudahan lapangan terbang.

“Kami akan terus menyokong Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan unit K9 bagi memastikan KLIA kekal sebagai lapangan terbang yang selamat,” katanya dalam kenyataan.

Unit K9 akan ditempatkan di kawasan daftar masuk bagi mengesan awal barangan larangan serta ancaman berpotensi, selain bertugas di kawasan pemeriksaan Kastam untuk mengesan dadah dan barangan seludup.

Dalam pada itu, penempatan di kawasan pengisihan bagasi memperluas liputan keselamatan operasi belakang tabir sebelum bagasi dimuatkan ke dalam pesawat atau dihantar ke kawasan tuntutan.

Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan, fasa rintis akan dijalankan bagi menilai keberkesanan lokasi terpilih serta menyelaraskan prosedur operasi standard (SOP) bersama agensi berkaitan. – UTUSAN

The post Unit K9 ditempatkan di KLIA perkemas keselamatan lapangan terbang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved