
Anker Soundcore AeroClip 2 kini ditawarkan di Malaysia sebagai satu lagi pilihan baharu untuk segmen fon telinga berbentuk subang. Ia hadir dengan beberapa sorotan menarik yang menambah nilai dalam segmen berkenaan sekali gus cuba menjadi pilihan sesuai bagi pengguna moden.

Fon telinga ini dilengkapi teknologi Crystal Clear Calls yang dikuasai oleh cip Anker Thus AI. Gabungan 4 mikrofon bersama 2 sensor getaran tulang membolehkan suara dipisahkan daripada bunyi bising lalu memastikan panggilan kekal jelas dalam pelbagai keadaan. Rekaan GoldenFit Comfort Design dibangunkan pula hasil lebih 2000 imbasan telinga bagi memastikan keselesaan sepanjang hari.

Soundcore AeroClip 2 turut menyokong audio resolusi tinggi dengan teknologi LDAC serta pemndu audio dwi‑magnet 12mm sekali gus menawarkan pengalaman audio ruang 3D yang lebih menyeluruh. Ia juga dilengkapi ciri terjemahan berasaskan AI yang mampu menterjemah secara masa nyata dalam lebih 100 bahasa melalui aplikasi Soundcore.

Selain itu, ia turut menawarkan tetapan bunyi peribadi melalui Hear ID 5.0, bunyi latar tenang untuk meditasi serta penarafan IP57. Fon telinga ini juga menyokong pengecasan pantas yang mampu memberikan 4 jam penggunaan dengan hanya 10 minit pengecasan. Tidak ketinggalan, ia hadir dengan sokongan sambungan pelbagai peranti yang membolehkan penggunaan serentak pada dua peranti.

Anker Soundcore AeroClip 2 akan mula ditawarkan di Malaysia pada 28 September 2026 dengan harga RM729. Ia boleh didapati secara dalam talian melalui Shopee, Lazada dan TikTok Shop, selain di kedai rasmi Anker termasuk Anker IOI City Mall, Anker Damansara serta cawangan baharu Anker Sunway Pyramid yang bakal dibuka.


