Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ditegaskan sebagai parti yang membawa pendekatan menyeluruh dalam menangani pelbagai isu rakyat ketika ini, merangkumi aspek kehidupan, sosial serta pentadbiran.
Beri mandat kepada PAS

Memetik laporan Kosmo, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, parti itu bukan sekadar gerakan politik semata-mata, sebaliknya merupakan wadah dakwah yang menekankan pembinaan sahsiah dan tarbiah yang telah lama dilaksanakan, termasuk melalui penyertaan dalam proses pilihan raya.
“Walaupun kita tidak bertanding sebanyak Barisan Nasional dengan 56 kerusi atau Pakatan Harapan dengan 56 kerusi, kita (Perikatan Nasional) mungkin hanya bertanding sekitar 30 kerusi, PAS sekitar 11 kerusi, tetapi ia adalah makna kita akan terus menggerakkan gelombang daripada utara ke selatan.
“Realitinya, setiap kali pilihan raya kita masih mendengar dendangan permasalahan sama, soal integriti, ekonomi, kos sara hidup, hubungan antarabangsa, perkauman, keadilan sosial dan sebagainya. Di sinilah keazaman PAS yang menanam keyakinan bahawa jawapan dan penyelesaian adalah Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PAS – Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Bakri, di sini malam tadi.

Tambahnya, politik pada masa kini merupakan sebahagian daripada pengukuhan agama dan tidak boleh dipisahkan daripada Islam sebagai cara hidup yang lengkap.
Artikel lain: Boleh tak kerajaan Selangor lupakan projek ‘bela khinzir’? Hormati titah Sultan – Annuar Musa
Menurut beliau, Islam menjadi asas dalam membentuk hubungan antara kaum, menegakkan keadilan sosial, membanteras kezaliman serta membawa kemakmuran, kesejahteraan dan rahmat.
“Kita harapkan di Johor juga sayap PN melalui parti PAS harus berkembang lebih luas, semakin membesar kerana kita ada cita-cita dan harapan yang besar untuk membawa jalan penyelesaian kepada kebuntuan-kebuntuan politik yang hari ini menjadi buah mulut semua orang.
“Penyelesaian kepada segala permasalahan ini adalah dengan memberikan mandat kepada PAS,” tambahnya lagi.
Sumber: Kosmo Diyanatul Atiqah Zakaria






