MARANG - Pas mengesahkan parti itu hanya tertumpu kepada gerak kerja kempen calonnya sendiri dan tidak akan membantu kempen rakan sekutunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan pendirian tersebut selain mendedahkan penggunaan logo Perikatan Nasional (PN) oleh parti itu dibuat atas beberapa faktor termasuk desakan pihak tertentu.
"(Sama ada Pas akan kempen untuk Bersatu sekali atau tidak) Tak, tak, tak.
"Ya, (kempen berbeza-beza) kerana mereka desak nak logo itu juga dan kita tidak pecah lagi (pakatan). Kita tetap dengan Pas. Yang parti Bersatu, kita tidak tahu strategi mereka.
"Tetapi InsyaALLAH orang Pas bekerja untuk kita," katanya ketika ditemui selepas kuliah duha di Masjid Rusila, di sini pada Jumaat bagi mengulas mengenai gerak kerja kempen dua parti tersebut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai depan.
Mengulas mengenai hubungan dengan Bersatu, Ahli Parlimen Marang itu menyatakan bahawa kemelut berkenaan sudah selesai dan pihaknya tetap dengan keputusan membatalkan kerjasama sebagaimana diputuskan sebelum ini.
Menyentuh mengenai sasaran Pas dalam PRN Johor, Abdul Hadi menjelaskan parti itu meletakkan sasaran menjadi blok pembangkang serta sebagai penasihat kepada kerajaan.
Jelas beliau, keputusan meletakkan calon di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) juga dibuat berdasarkan penilaian teliti terhadap kawasan yang mempunyai keyakinan tinggi untuk menang, termasuk di kawasan Maharani.
"Kita bertanding 11 (kerusi), 11 lah (semua disasarkan menang). Kita pilih kerusi yang ada keyakinan untuk menang. InsyaALLAH, mudah-mudahan," katanya.
Beliau berkata, mandat pentadbiran Johor akan dipastikan kekal di bawah kepimpinan Melayu Islam bagi mengelakkan penguasaan ideologi yang bertentangan.
"Apa yang penting, kita mahu negeri Johor diperintah oleh orang Melayu Islam. Saya tak mahu dikuasai oleh puak-puak liberal, puak-puak bukan Islam. Biar orang Islam yang perintah Johor ,"katanya lagi.
Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah kerusi ditandingi Pas pada PRN Johor kali ini dikurangkan kepada 11 berbanding 15 kerusi pada PRN sebelumnya.
Katanya, pengurangan jumlah kerusi yang ditandingi Pas bukanlah satu isu kerana keputusan tersebut dibuat berdasarkan pertimbangan semasa dan strategi terbaik bagi menghadapi pilihan raya.






