
SIPITANG: Rumah Sukan Antanom (Hijau) muncul juara Kejohanan Olahraga Sekolah Kebangsaan (SK) Merintaman ke-20 di Kompleks Sukan Sipitang pada Rabu.
Antanom berjaya mengumpul 12 pingat emas, enam perak dan enam gangsa.
Rumah Mat Salleh (merah) di tempat kedua dengan kutipan enam emas, 11 perak dan tiga gangsa manakala rumah Tun Mustapha (kuning) menduduki tempat ketiga selepas mengutip empat emas, lima perak dan 13 gangsa.
Muhammad Ruzain Ahza Mohd Rizuan dari rumah Antanom dan Nurnabila Alias dari rumah Mat Salleh dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati kejohanan. Kejohanan yang disertai 184 murid melibatkan 27 acara itu dirasmikan oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Sipitang, Unit Pembangunan Bakat Murid, Muhammad Zulfadhli Amir mewakili Pegawai Pelajaran Sipitang, mengucapkan tahniah atas komitmen semua guru dalam menjayakan kejohanan itu dan kepada pemenang.
Katanya, SK Merintaman merupakan sekolah kebangsaan yang pertama melaksanakan kejohanan sukan di Sipitang dan antara sekolah yang membanggakan kerana mempunyai bilangan ramai kehadiran ibu bapa datang memberi sokongan padu kepada anak-anak mereka.
Turut hadir Guru Besar Arif Bagol, YDP PIBG Sabri Abdurahim, Penolong Kanan Pentadbiran Abdul Latip Majid, PK HEM Sharifah Salat dan PK Kokum dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Sukan Tahunan Sekolah Fredy Voo Sui Kiong.
