amree28/05/2026 - 18:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Mei — Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengambil tindakan hukuman maksimum terhadap Prasarana Malaysia Berhad susulan insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) tergelincir berhampiran stesen Chan Sow Lin pagi tadi.
Beliau berkata, APAD sudah pun membuka kertas siasatan berhubung insiden tersebut dengan serta-merta bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Menurutnya, pihak pengurusan tertinggi dan lembaga pengarah Prasarana tidak lagi boleh mengambil pendekatan “business-as-usual” dalam menangani isu melibatkan keselamatan pengangkutan awam.
“Kejadian seperti ini mesti dipandang serius dan tiada sesiapa dalam pengurusan tertinggi Prasarana akan terlepas daripada dipertanggungjawabkan terhadap insiden ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Anthony Loke turut memaklumkan kementeriannya telah menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menjalankan siasatan menyeluruh terhadap punca insiden berkenaan.
Katanya, hasil siasatan itu akan dibentangkan kepada Kabinet secepat mungkin sebelum laporan penuh didedahkan kepada umum.
Artikel berkaitan: Tren tergelincir di Chan Sow Lin: Rapid KL aktifkan operasi alternatif, bas pengantara percuma kepada penumpang
“Standard keselamatan pengangkutan awam dan kebolehpercayaan perkhidmatan tidak boleh dikompromi.
“Tindakan tegas termasuk pemecatan perlu diambil oleh lembaga pengarah Prasarana terhadap mana-mana pihak yang didapati cuai dalam menjalankan tanggungjawab demi memulihkan keyakinan orang ramai terhadap sistem rel kendalian Prasarana,” katanya.
Terdahulu, perkhidmatan Laluan Ampang/Sri Petaling mengalami gangguan selepas sebuah tren tergelincir ketika melalui laluan pertukaran trek berhampiran stesen Chan Sow Lin.
Rapid KL mengesahkan kesemua 25 penumpang berjaya dipindahkan dengan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.
Beberapa video kejadian turut tular di media sosial memaparkan penumpang berjalan di atas landasan ketika proses pemindahan kecemasan dijalankan.
Rapid Rail Sdn Bhd berkata, kerja-kerja pembaikan sedang giat dilaksanakan bagi memulihkan semula operasi perkhidmatan. - DagangNews.com
