LRT Tergelincir: Tindakan Tegas Perlu Diambil - Loke

LocalPolitics
28 May 2026 • 8:48 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan pada kadar segera, bagi membolehkan insiden tren LRT tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin pagi tadi disiasat secara menyeluruh.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau telah mengarahkan supaya hasil siasatan dibentangkan kepada Kabinet secepat mungkin, selain laporan penuh didedahkan kepada umum demi ketelusan.

Menurut beliau, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) turut diarahkan mengambil tindakan hukuman maksimum terhadap Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) susulan insiden berkenaan.

“APAD telah membuka siasatan terhadap insiden ini dengan segera. Saya ingin menegaskan bahawa Lembaga Pengarah serta pasukan pengurusan Prasarana tidak boleh terus mengamalkan sikap ‘business-as-usual’.

“Insiden seperti ini mesti dipandang serius dan tiada mana-mana pihak dalam pengurusan tertinggi Prasarana yang boleh terlepas daripada dipertanggungjawabkan,” katanya hari ini.

Anthony Loke - Gambar fail
Anthony Loke - Gambar fail

Tegas Loke, standard keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan awam tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.

Pada masa sama, beliau berkata, tindakan tegas termasuk pemecatan perlu dipertimbangkan oleh Lembaga Pengarah Prasarana terhadap mana-mana individu yang didapati cuai dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Katanya, langkah itu penting bagi memulihkan keyakinan orang ramai terhadap tahap keselamatan dan kebolehpercayaan sistem rel negara.

“Kementerian memandang serius insiden ini kerana ia bukan sekadar gangguan perkhidmatan biasa. Kejadian tren tergelincir melibatkan risiko keselamatan yang tinggi kepada penumpang dan kakitangan.

“Walaupun kesemua 25 penumpang berjaya dipindahkan dengan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan, MOT tetap mengambil pendirian tegas serta tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan awam,” katanya.

Terdahulu, sebuah tren Laluan Ampang/Sri Petaling dilaporkan tergelincir ketika melalui kawasan pertukaran landasan berhampiran Stesen Chan Sow Lin, sekali gus menjejaskan jadual perkhidmatan laluan berkenaan.

Rapid KL dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa insiden itu dipercayai berpunca daripada kerosakan pada sistem pertukaran landasan. - Getaran, 28 Mei 2026