
KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diarahkan untuk segera mengaudit serta menyiasat syarikat pengendali treler yang terlibat dalam kemalangan maut, mengorbankan tiga nyawa di Segamat, Khamis lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, syarikat berkenaan juga perlu dipertanggungjawabkan atas kegagalan memastikan disiplin pemandu mereka.
“Saya berharap pihak polis dapat menyelesaikan siasatan kes ini secepat mungkin dan pemandu tersebut dihadapkan ke mahkamah dengan kadar segera.
“Saya yakin pihak Peguam Negara akan mengarahkan pendakwaan tegas yang setimpal dengan kesalahan pemandu tersebut,’’ katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Loke telah menziarahi ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan maut itu, yang meragut 3 nyawa, di Hospital Segamat.
Dua orang mangsa, katanya masih menerima rawatan dan salah seorang mangsa berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di wad ICU.
Semalam, pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 212, Jalan Johor Bahru-Seremban berdekatan persimpangan Taman Golden Hill, Gemas Baharu, itu, direman empat hari.
Ketua Polis Daerah Segamat, Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira 3.45 petang itu ialah pasangan suami isteri dan pemandu van.
Dalam pada itu, Loke berkata, ia merupakan satu lagi kes kemalangan yang amat menyedihkan, yang berpunca daripada penyalahgunaan dadah oleh pemandu lori tersebut.
“Kerajaan menyedari bahawa sebahagian besar pemandu lori adalah profesional dan menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh disiplin namun masih terdapat segelintir yang tidak bertanggungjawab dan terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan semua pemandu agar tidak sesekali memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah dan alkohol.
“Akibatnya bukan sahaja membahayakan keselamatan dan masa depan diri sendiri, malah boleh membawa risiko yang mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain,’’ katanya. - 4 April, 2026
The post Anthony Loke arah JPJ, APAD audit, siasat syarikat treler sebabkan tiga kematian di Segamat appeared first on Scoop.
