Anthony Loke berundur, DAP kekal: Tekanan dari dalam kerajaan

LocalPolitics
20 Sep 2026 • 8:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Anthony Loke berundur, DAP kekal: Tekanan dari dalam kerajaan
Laporan muka depan Sinar Ahad mengenai isu Anthony Loke mahu meletakkan jawatan Menteri Pengangkutan.

KEPUTUSAN Anthony Loke menawar diri meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, sedangkan anggota Kabinet DAP lain kekal dalam kerajaan memperlihatkan satu pendekatan politik yang cuba menghantar dua mesej serentak.

Di satu sisi, DAP mahu menunjukkan pendirian terhadap perkembangan terbaharu berkaitan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Di sisi lain, parti itu memilih untuk tidak mengambil langkah lebih drastik dengan menarik keluar keseluruhan wakilnya daripada Kabinet.

Anthony sendiri menjelaskan peletakan jawatan itu sebagai respons DAP terhadap perkembangan berkenaan, namun menegaskan anggota Kabinet dan timbalan menteri DAP lain akan terus berkhidmat bagi memastikan kestabilan politik.

Di sinilah letaknya signifikasi keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, keputusan itu bukan sekadar mengenai kedudukan seorang menteri, sebaliknya memperlihatkan bagaimana DAP cuba mengimbangi pendirian politik parti dengan realiti sebagai sebahagian daripada kerajaan campuran.

Perkara paling ketara ialah DAP tidak keluar daripada kerajaan.

Malah, keputusan itu selari dengan pendirian yang diputuskan pada 16 Ogos yang mana Persidangan Kebangsaan DAP memutuskan parti itu kekal dalam kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen.

Justeru, keputusan terbaharu ini tidak boleh dilihat secara terpisah daripada mandat tersebut.

Dalam konteks itu, peletakan jawatan Anthony menjadi simbolik.

Sebagai Setiausaha Agung DAP dan antara wajah utama parti dalam Kabinet, keputusan beliau mengambil tanggungjawab secara peribadi membolehkan parti menyampaikan mesej bahawa perkembangan berkenaan tidak dipandang ringan.

Pilihan itu juga mengekalkan ruang politik untuk DAP terus memainkan peranan dari dalam kerajaan.

Namun, langkah berkenaan turut menambah satu lagi dimensi kepada hubungan DAP dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Bagi Anwar, episod ini menunjukkan cabaran mengurus Kerajaan Perpaduan bukan hanya datang daripada pembangkang.

Perbezaan pendirian antara parti yang membentuk kerajaan sendiri juga boleh mencetuskan tekanan politik, khususnya apabila sesuatu isu menyentuh persoalan integriti, akauntabiliti dan kepercayaan awam.

Persoalannya kini bukan sekadar siapa yang mengisi kekosongan jawatan Menteri Pengangkutan.

Perkembangan itu juga membuka persoalan lebih luas mengenai kemampuan Anwar mengurus perbezaan pendirian dalam gabungan pemerintah tanpa membiarkan tekanan dalaman berkembang menjadi krisis politik.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved