Anthropic ialah syarikat pembangun teknologi AI yang cukup terkenal untuk membangunkan model-model bahasaraya yang berkuasa dan boleh digunakan untuk pelbagai jenis tugasan untuk pengguna biasa dan juga mereka yang bekerja dalam industri-industri teknikal.
Terkini, mereka telah menandatangani perjanjian bersama-sama syarikat pengeluar komponen cip memori dan storan Micron untuk membantu mereka membina infrastruktur AI yang jauh lebih berkuasa di masa hadapan. Seperti yang sedia maklum, infrastruktur AI berkuasa bukan sahaja memerlukan komponen cip pemprosesan AI yang berkuasa, tetapi juga memori dan storan yang boleh mengakses, membaca dan menulis data dengan pantas.

Micron memiliki portfolio pengeluaran komponen memori DRAM dan HBM dan storan SSD yang cukup meluas, menjadikannya syarikat yang terbaik untuk digandingkan bersama Anthropic dari segi pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan masa hadapan.
Dengan perjanjian ini, Micron dan Anthropic akan menganalisa bagaimana subsistem memori dan storan berfungsi merentasi pelbagai jenis beban kerja AI dan berinteraksi merentasi tindanan infrastruktur AI. Usaha ini dijangka akan memacu kemajuan dalam prestasi memori dan storan, kecekapan tenaga dan penggunaan token yang dipertingkatkan dalam infrastruktur AI Anthropic.
Secara ringkasnya, Micron akan membekalkan komponen memori dan storan kepada Anthropic untuk mereka membina sistem dan infrastruktur AI mereka untuk jangka masa yang panjang. Bekalan ini juga merupakan sebahagian daripada pelaburan yang dilakukan oleh Micron terhadap Anthropic yang baru sahaja melengkapkan pusingan pelaburan Siri H baru-baru ini.
Sumber: Micron


