Anthropic Melancarkan Model AI Khusus Untuk Kegunaan Tentera dan Risikan

TechnologyDigital
6 Jun 2025 • 5:12 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Anthropic lebih dikenali sebagai syarikat yang menghasilkan model kecerdasan buatan (AI) Claude dengan syarikat ditubuhkan oleh bekas kakitangan OpenAI. Selepas menawarkan model untuk kegunaan awam, Anthropic melancarkan pula model Claude Gov yang dibangunkan khusus untuk kegunaan kerajaan Amerika Syarikat.

Model dibangunkan khusus untuk digunakan dalam operasi kerajaan seperti perancangan strategik, sokongan operasi dan analisis risikan. Menurut Anthropic, Claude Gov telahpun digunakan oleh beberapa agensi di peringkat tertinggi keselamatan negara Amerika dengan akses kepadanya terhad kepada mereka yang beroperasi dalam persekitaran memerlukan maklumat dirahsiakan.

image is not available

Claude Gov berbeza dengan model lain kerana ia mengendalikan maklumat rahsia dengan lebih baik, mempunyai pemahaman yang lebih mendalam tentang dokumen dalam konteks risikan serta pertahanan dan kemahiran yang dipertingkatkan dalam bahasa dan dialek yang penting untuk operasi keselamatan negara.

Penggunaan kecerdasan buatan dalam bidang ketenteraan ialah isu panas yang menyebabkan kakitangan syarikat teknologi melakukan bantahan secara terbuka. Microsoft dan Google telah membuang beberapa pekerja yang secara terbuka mengkritik penglibatan syarikat dalam konflik seperti yang berlaku di Gaza misalnya.

Baru-baru ini juga Meta menjalinkan kerjasama dengan Anduril untuk menggunakan AI untuk set kepala XR EagleEye bagi kegunaan infantri. Realitinya ialah teknologi AI sedang berkembang dan kontrak kerajaan terlalu menguntungkan untuk tidak diendahkan.