
TROFI sulung yang diraih penyanyi Zaki Yamani pada Anugerah Melodi Terhangat 2026 (AMT2026) baru-baru ini menjadi pembakar semangat untuknya memperkukuh langkah dalam industri seni.
Kemenangan hasil undian peminat itu membuktikan sokongan ramai mampu menjadi kekuatan terbesar dalam perjalanan kerjayanya.
Meskipun berdepan saingan nama-nama besar, anak kepada penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah itu tetap bersyukur apabila usaha peminat yang tidak putus-putus memberikan sokongan akhirnya membuahkan hasil.
“Sebelum ini saya tidak mempunyai peminat yang betul-betul kuat sehingga sanggup berusaha bersungguh-sungguh untuk mengundi.
“Namun, alhamdulillah tahun ini saya dapat bertemu dengan peminat baharu, mereka mengundi setiap hari. Saya bersyukur mempunyai peminat seperti mereka,” katanya.
Tak letak harapan
Ujarnya, persaingan sengit dengan sembilan lagi calon termasuk kumpulan Alpha, Odda, K.O.I dan Zairi Aziz menyebabkan dia tidak berani meletakkan harapan terlalu tinggi untuk membawa pulang kemenangan.
“Apabila melihat senarai calon pada awal pencalonan, saya terfikir, adakah saya mampu bersaing? Saya takut jika terlalu berharap.
“Jadi, saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi. Alhamdulillah, impian peminat saya tercapai, kemenangan ini untuk mereka,” katanya lagi.
Mengulas makna kemenangan tersebut, Zaki tidak menganggap trofi yang diraih sebagai bukti dirinya sudah mencapai tahap pengiktirafan tertinggi dalam industri seni.
Sebaliknya, penyanyi itu menyifatkan anugerah dimenangi itu sebagai penghargaan yang membakar semangatnya untuk terus berkarya.
“Bagi saya, anugerah ini sekadar satu penghargaan. Namun, kalau hendak dikatakan nama sudah diiktiraf, saya rasa belum lagi.
“Cuma anugerah ini menjadi pembakar semangat untuk terus melangkah lebih jauh dalam industri seni, membanggakan negara dan peminat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zaki turut menzahirkan penghargaan kepada ibunya, Fatimatuzahra Samat, 42, yang banyak membantu menguruskan perjalanan kerjayanya, termasuk mengumpulkan peminat yang memberikan sokongan kepadanya.
Malah, sebaik sahaja diumumkan sebagai pemenang, perkara pertama yang terlintas dalam fikirannya adalah mencari ibunya untuk memeluk dan mencium dahi wanita itu sebagai tanda terima kasih.
“Saya nak memeluk, mencium dahi dan mengucapkan terima kasih kerana kemenangan ini juga disebabkan olehnya.
“Ibu banyak membantu mengumpulkan peminat saya sejak menceburi industri seni,” jelasnya.
Menyentuh perhatian yang diterima susulan namanya semakin dikenali, Zaki menjelaskan dia lebih selesa menggunakan istilah dikenali berbanding popular kerana enggan kejayaan yang dikecapi membuatkan dirinya terbuai dan berbangga diri.
“Saya tidak gemar menggunakan perkataan popular.
“Saya lebih selesa dikenali kerana kualiti kerana perkataan popular itu kedengaran terlalu berlebihan dan saya bukan orang yang begitu,” ujarnya lagi.
Sokong Azeva
Dalam pada itu, Zaki turut menjelaskan sokongan yang diterimanya tidak hanya hadir daripada kelompok peminatnya tetapi juga pengikut setia Azeva.
“Saya rasa kami mempunyai kelompok peminat yang berasingan. Ada yang meminati kami berdua dan sebaliknya.
“Setakat yang saya tahu, ramai peminat kami berdua pun turut mengundi.
“Saya gembira apabila mendapat sokongan yang begitu kuat,” jelasnya.
Mengulas dakwaan kemenangan yang diraih disebabkan populariti bapanya, Zaki menegaskan apa yang dicapainya ketika ini adalah hasil usaha dan kerja kerasnya sejak beberapa tahun lalu.
Dia bagaimanapun tidak menafikan nama Jamal yang cukup besar dalam industri seni tanah air sukar untuk dipisahkan daripada perjalanan kerjayanya.
“Bagi saya, kemenangan ini tidak membuatkan saya berasa lebih hebat.
“Saya masih merendah diri dan tidak rasa mampu mengatasi populariti Jamal Abdillah, memang tidak akan dapat menandinginya.
“Bapa saya seorang tokoh seni dan antara penyanyi terawal dalam industri nyanyian tetapi perkara yang boleh saya lakukan adalah terus memperbaiki diri, berkarya serta mengekalkan disiplin setiap tahun,” jelasnya.
Tambahnya, dia akan terus menghasilkan kandungan kreatif dan berkongsi karya muzik untuk dekat dengan peminat.
“Saya akan terus bekerja, mengekalkan disiplin dan menghasilkan kandungan kreatif.
“Saya juga akan berusaha berkongsi karya menarik dan melakukan pelbagai perkara yang boleh membantu perkembangan kerjaya pada masa mendatang,” katanya mengakhiri perbualan.
The post ‘Anugerah sekadar penghargaan, saya belum lagi diiktiraf’ appeared first on Kosmo Online.






