
PETALING JAYA – Perdana Menteri meneruskan jelajah Diplomasi Madani ke Republik Rakyat China atas jemputan Premier Li Qiang bagi mengadakan lawatan kerja di Shanghai dan Hangzhou.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain mesyuarat dua hala untuk memperkukuh hubungan diplomatik serta kerjasama dalam pelbagai bidang strategik antara Malaysia dan China, pertemuan bersama wakil syarikat-syarikat terkemuka bakal diadakan demi menarik pelaburan berkualiti dan berimpak tinggi ke Malaysia.
“Saya juga akan memenuhi undangan ke WorldSkills Competition Shanghai 2026 untuk memberi sokongan secara langsung kepada anak-anak Malaysia yang bakal bertanding bagi mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
“Di Hangzhou pula, saya dijadual menjejakkan kaki ke Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) di mana Malaysia antara negara tetamu kehormat yang dijemput oleh kerajaan China,” katanya dalam satu hantaran di Facebook di sini hari ini.
Anwar berkata, pihaknya berharap lawatan kerja selama tiga hari itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan membuahkan hasil yang positif buat kedua-dua negara. – KOSMO! ONLINE
The post Anwar adakan lawatan kerja di Shanghai appeared first on Kosmo Online.






