Anwar akan bertemu pengasas WEF, pimpin sesi pleno ASEAN hari ini

22 Jan 2025 • 2:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar. Foto fBernama

DAVOS (Switzerland) - Jadual padat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari terakhir Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 pada Rabu, akan dimulakan dengan menerima kunjungan hormat Pengasas dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah WEF, Prof Klaus Schwab.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dan kini dalam lawatan kerja selama tiga hari bagi menghadiri sidang itu, seterusnya dijadualkan menyertai satu sesi dialog eksklusif khas beliau dengan barisan pimpinan forum yang bertemakan "A Conversation with Anwar Ibrahim.”

Perdana Menteri seterusnya dijadual menyertai jamuan tengah hari sesi Pertemuan Tidak Rasmi Pemimpin WEF (IGWEL).

Beliau kemudiannya akan menyampaikan ucaptama dalam sesi Pleno ASEAN bertajuk "Even Stronger Together” yang menyaksikan Perdana Menteri membincangkan keutamaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 serta peranan penting perkumpulan itu dalam membentuk landskap ekonomi global.

Selepas itu, Anwar dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dari Libya, Abdul Hamid Dbeibah, Presiden Somalia Hassan Sheikh Mohamud dan Perdana Menteri Dick Schoof selain mesyuarat perniagaan dengan TotalEnergies.

Pertemuan dengan Schoof di bandar peranginan Pergunungan Alps ini juga menyaksikan Anwar mengakhiri lawatan kerja beliau ke empat negara yang dimulakan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Januari dan seterusnya United Kingdom (15 Januari) dan Belgium (19 Januari). - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved