Anwar Akan Bincang Dengan Khazanah Berhubung Penjualan Kidzania Singapore

PoliticsBusiness & Finance
16 Jun 2023 • 5:13 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar bersalaman dengan orang ramai sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya, hari ini. - Gambar dari Facebook Anwar Ibrahim

CYBERJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan mengadakan mesyuarat bersama pengurusan Khazanah Nasional Bhd berhubung penjualan Kidzania Singapore pada harga yang terlalu rendah.

"Itu saya akan bermesyuarat dengan mereka," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan merangkap Pengerusi Khazanah ketika ditanya media mengenai laporan penjualan taman tema itu selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Raja Haji Fisabilillah, di sini, hari ini.

Khazanah dan Boustead Holdings Bhd dilaporkan telah menjual KidZania Singapore yang telah ditutup operasi perniagaannya kepada Sim Leisure Group Ltd yang disenaraikan di Singapura pada harga S$110,000.

KidZania Singapore, yang dibuka pada April 2016 di Pulau Sentosa, Singapura, ditutup pada 2020, selepas terjejas akibat pandemik COVID-19. 

Theme Attractions Resorts and Hotels Sdn Bhd (TARH), anak syarikat Khazanah, memiliki 80 peratus pegangan dalam Rakan Riang Pte Ltd (Rakan Riang Singapore), yang mengendalikan Kidzania menerusi usaha sama dengan Boustead Curve – anak syarikat Boustead Holdings.

 Dipercayai bahawa Khazanah dan Boustead pada awalnya menyuntik sebanyak SG$48 juta (RM165.52 juta) ke dalam projek tersebut.

Sementara itu, Anwar berkata beliau tidak dimaklumkan tentang rumah ketua pembangkang Hamzah Zainudin diserbu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seperti yang dilaporkan.

"Itu urusan LHDN, urusan badan penyiasat, saya tidak dimaklumkan," katanya.

Media melaporkan rumah Ahli Parlimen Larut itu yang terletak di Damansara, Kuala Lumpur diserbu sepasukan pegawai LHDN pada Rabu lepas susulan terdapat beberapa cukai yang tidak dilaporkan. - Bernama