PM Anwar adakan perbincangan dengan Khazanah berhubung isu penjualan KidZania Singapura
zulfadli
16/06/2023 - 17:04
CYBERJAYA 16 Jun - Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan Khazanah Nasional Bhd mengenai penjualan asetnya, KidZania Singapura pada nilai yang terlalu rendah.
"Yang itu saya akan bermesyuarat dengan mereka (Khazanah)," kata Perdana Menteri ringkas ketika ditemui selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Raja Haji Fisabilillah di sini, hari ini.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan pengendali taman tema, Sim Leisure Group memperoleh KidZania Singapura dengan hanya S$110,000 (RM379,398).
KidZania Singapura sebelum ini dilancarkan oleh Khazanah dan Boustead Holdings Bhd pada 2016, dengan suntikan pelaburan RM165.52 juta.
Bagaimanapun, pengurusan yang lemah terhadap taman tema itu menyaksikannya hanya merekodkan pendapatan sebanyak S$15 juta (RM51.73 juta) dengan kerugian sebelum cukai ditanggung berjumlah S$8.3 juta (RM28.63 juta), menurut sebuah laporan akhbar perniagaan di Singapura.
Selain itu, KidZania Singapura juga dilaporkan menanggung hutang sebanyak S$53.4 juta (RM184.17 juta) kepada pemiutang, dengan 93% daripada hutang terbabit adalah kepada Theme Attractions Resorts & Hotels Sdn Bhd (TARH), sebuah anak syarikat milik Khazanah.
TARH memiliki 80% kepentingan dalam Rakan Riang Pte Ltd (Rakan Riang Singapore), yang mengendalikan KidZania menerusi usaha sama dengan Boustead Curve, sebuah anak syarikat Boustead Holdings Bhd, lapor Berita Harian.

Sementara itu, portal berita dalam talian Singapura melaporkan, KidZania akan kembali kepada Singapura pada suku pertama tahun depan.
Taman tema dalam bangunan kanak-kanak itu pertama kali dibuka di Singapura pada 2016 di Pulau Sentosa, namun ditutup sepenuhnya pada pertengahan 2020 berikutan pandemik COVID-19. - DagangNews.com


