Anwar arah draf pindaan Akta Mara siap dalam masa tiga bulan

LocalPolitics
3 May 2026 • 1:15 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Anwar arah draf pindaan Akta Mara siap dalam masa tiga bulan

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya draf pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (Mara) disiapkan dalam tempoh tiga bulan.

Menurut Perdana Menteri, langkah berkenaan termasuk memperkemas fungsi Mara sebagai payung besar ekonomi Bumiputera serta pusat sehenti pembangunan, menerusi penyelarasan pelbagai agensi dan dasar berkaitan.

“Maka saya anggap Akta Mara yang baharu perlu disiapkan sebelum akhir tahun. Saya tidak perlu tunggu lama.

“Tidak perlu ambil masa tujuh hingga lapan bulan…beri draf kepada saya dalam tempoh tiga bulan,” lapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan 60 Tahun Mara di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Mara, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Mara Datuk Zulfikri Osman.

Anwar memberitahu, tumpuan pindaan itu turut diberikan kepada aspek tadbir urus, bagi memastikan agensi Bumiputera itu bukan sahaja lantang menyuarakan kepentingan, tetapi lebih tegas dalam melaksanakan tatakelola yang baik.

Dalam pada itu, Zahid dalam ucapannya berkata, pindaan Akta Mara bakal berfungsi sebagai “kubu” perundangan bagi memastikan agenda pemerkasaan bumiputera kekal utuh walaupun berlaku pertukaran kepimpinan negara.

Menurut Zahid, pengukuhan akta itu amat kritikal bagi menutup ruang ketirisan serta kebocoran dana, memandangkan Mara kini memikul amanah besar dengan nilai aset keseluruhan mencecah RM23 bilion.

Jelasnya, langkah itu bertujuan meletakkan asas tatakelola dan peraturan yang lebih ketat supaya hala tuju Mara kekal konsisten dalam memartabatkan kepentingan bumiputera tanpa dipengaruhi faktor politik.

​“Kita tidak mahu agenda Mara ditukar kerana bertukar kepimpinan. Kita mahu Mara terus menjaga agenda bumiputera walau siapapun yang memimpin.

“Saya telah memberi tempoh hingga akhir tahun ini agar (draf pindaan) Akta Mara ini dipersiapkan dan dibentangkan di dalam sidang Parlimen," katanya. - 3 Mei, 2026

The post Anwar arah draf pindaan Akta Mara siap dalam masa tiga bulan appeared first on Scoop.