Anwar umum Elaun Pasca Cuti Bersalin, sokongan kepada ibu kembali bekerja

LocalPolitics
1 May 2026 • 11:30 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Anwar umum Elaun Pasca Cuti Bersalin, sokongan kepada ibu kembali bekerja

KUALA LUMPUR - Elaun Pasca Cuti Bersalin yang merupakan bantuan kewangan akan diperkenalkan bagi menyokong penyertaan wanita dalam tenaga buruh, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, elaun berkenaan akan diperkenalkan melalui pindaan kepada Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017, bertujuan memberikan sokongan kewangan tambahan kepada ibu yang memerlukan masa lebih panjang selepas tempoh cuti bersalin.

Menurut Anwar, faedah elaun akan ditetapkan pada kadar 80 peratus daripada gaji anggapan bulanan bagi pekerja wanita yang diinsuranskan, dan akan dibayar secara sekali beri (one-off).

Ia dijangka memberikan manfaat kepada lebih 132,000 pekerja wanita di seluruh negara.

“Kadar penyertaan tenaga buruh wanita sedikit merosot. Kita kaji cohort umur 25 hingga 39 tahun, 25-29 tahun banyak terkesan kerana komitmen ibu melahirkan anak.

"Rasionalnya ialah kita tidak mahu setelah itu sepertimana yang berlaku selama ini, ibu merasakan terpaksa berhenti dan meninggalkan medan pekerjaan.

“Elaun ini merupakan bantuan kewangan bagi cuti tambahan hingga 30 hari sebulan yang diambil selepas tamat tempoh cuti bersalin 98 hari," ,’’ katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Pekerja peringkat kebangsaan hari ini.

Mengikut Akta Kerja 1955, setiap pekerja wanita di negara ini layak menikmati cuti bersalin sebanyak 98 hari berterusan termasuk hari rehat dan hari kelepasan am.

Pekerja wanita turut layak mendapatkan elaun bersalin sekiranya bekerja sekurang-kurangnya 90 hari dalam tempoh sembilan bulan sebelum bersalin, bekerja sekurang-kurangnya sehari dalam tempoh empat bulan sebelum bersalin, dan mempunyai kurang daripada lima orang anak yang masih hidup. - 1 Mei, 2026

The post Anwar umum Elaun Pasca Cuti Bersalin, sokongan kepada ibu kembali bekerja appeared first on Scoop.