
PORT DICKSON – Kerajaan akan meneruskan usaha menaik taraf institusi pondok dan sekolah agama rakyat di Negeri Sembilan termasuk menyediakan peruntukan khas bagi membaik pulih kemudahan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu adalah kesinambungan komitmen kerajaan memperkasa pendidikan Islam selepas peruntukan kepada sekolah agama rakyat dikembalikan bermula 2023.
Menurut beliau, kerajaan sebelum ini telah meluluskan projek bernilai jutaan ringgit bagi membaik pulih institusi pondok di Perak, manakala Negeri Sembilan turut akan menerima perhatian sama sebaik sahaja proses pilihan raya selesai.
“Dua minggu lalu saya umumkan projek berjuta ringgit untuk baiki pondok-pondok di Perak. Di Negeri Sembilan, selain daripada yang dilakukan oleh Menteri Besar, saya tak boleh umumkan sekarang.
“Kita kena umum lepas pilihan raya, insya-Allah. Saya dah lakukan di Perak, saya lakukan sebahagian di Kelantan. Kelantan, walaupun bukan penyokong-penyokong tegar (Pakatan Harapan) kita, tapi sebab pendidikan yang ini kita lakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Linggi Bermunajat di Dewan Orang Ramai Linggi, di Port Dickson, sebentar tadi.
Anwar berkata, kerajaan mengambil pendekatan membantu memperbaiki prasarana pondok tanpa mengganggu sistem pengajian atau manhaj yang diamalkan oleh institusi berkenaan.- KOSMO! ONLINE
The post Anwar beri bayangan nafas baharu sekolah pondok lepas PRN appeared first on Kosmo Digital.






