
TAMPIN – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mendakwa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kini memasuki fasa yang lebih membimbangkan apabila muncul tindakan memasang kain rentang berunsur provokasi yang disifatkannya sebagai usaha menanam kebencian rakyat terhadap BN.
Jalaluddin yang juga calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang berkata, kain rentang berkenaan memaparkan gambar beliau bersama slogan “BN Menang, Mukhriz Turun” di Seremban, sekali gus disifatkan sebagai cubaan membentuk persepsi negatif terhadap gabungan itu menjelang hari pengundian.
“Hari ini sudah bermula pendekatan untuk menanamkan rasa benci rakyat kepada Barisan Nasional dengan menaikkan kain rentang yang tidak sewajarnya dipasang. Pendekatan seperti ini tidak lagi sesuai dalam landskap politik hari ini.
“Pendekatan politik sedemikian itu dilakukan 10 tahun dulu, maka zaman sekarang saya fikir tidak wajar untuk menanamkan rasa benci rakyat menunjukkan suasana perkauman yang melampau dan ianya akan memberikan ketidakstabilan masyarakat di bawah peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sesi Libat Urus Bersama Pimpinan Masyarakat Negeri Sembilan Tahun 2026 (JPKK) di Gemencheh, hari ini.
Semalam, Jalaluddin dilaporkan membuat laporan polis selepas mendakwa kakaknya menjadi mangsa cubaan menyogok pengundi apabila didatangi individu yang menawarkan wang menjelang hari pengundian.
Ujar Jalaluddin lagi, pihaknya turut menerima maklumat terdapat beberapa pengundi lain yang dikatakan menerima wang daripada individu yang didakwanya bertindak sebagai broker politik di beberapa kawasan termasuk Kuala Pilah dan Jempol.- KOSMO! ONLINE
The post PRN N. Sembilan: ‘Ada pihak cuba cetus provokasi guna kain rentang’ appeared first on Kosmo Digital.






