Anwar berjaya batal saman Waytha Moorthy

LocalPolitics
18 Mar 2026 • 10:38 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar Ibrahim. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, untuk membatalkan saman bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berhubung pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Tambun.

Hakim, Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian selepas menolak saman pemula Waytha Moorthy yang difailkan tahun lalu.

Beliau berkata, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman berkenaan, kerana ia sepatutnya difailkan melalui petisyen pilihan raya.

Mahkamah kemudian mengarahkan Waytha Moorthy membayar kos sebanyak RM80,000 kepada Anwar.

Semasa membaca keputusan itu, Alice berkata, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk melayan saman sedemikian.

Berdasarkan peruntukan Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan, beliau berkata, pilihan raya hanya boleh dicabar melalui petisyen pilihan raya yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi.

“Prinsip ini telah lama diwujudkan dalam kes undang-undang yang mana badan perundangan telah menyediakan mod khusus untuk mencabar pilihan raya dan ia mesti diikuti secara eksklusif.

“Saman pemula tidak mendedahkan tindakan yang munasabah kerana ia tidak mempunyai asas undang-undang, selain saman itu bersifat remeh, menyusahkan dan merupakan satu salah guna proses mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, saman pemula jelas tidak boleh dikekalkan, tidak boleh dipertikaikan dan menjadi sia-sia sekiranya diteruskan.

Justeru, hakim membenarkan permohonan defendan dan saman pemula tersebut dibatalkan.

Dalam prosiding ini, Anwar diwakili peguam, Ranjit Singh sementara Waytha Moorthy oleh peguam, S Karthigesan.

Turut hadir ialah Peguam Persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md Ali dari Jabatan Peguam Negara (AGC) selaku 'amicus curiae' atau sahabat mahkamah.

Sementara itu, selepas prosiding, Waytha Moorthy yang juga bekas pengerusi Barisan Tindakan Hak Asasi Hindu (Hindraf), berkata, tindakan susulan iaitu rayuan terhadap keputusan terbabit akan dibuat dalam masa terdekat.

Pada Ogos 2025, Waytha Moorthy memfailkan saman pemula bagi mendapat perisytiharan bahawa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022 sebagai tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.

Beliau turut memohon perisytiharan bahawa pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.

Presiden Parti Kemajuan Malaysia menyatakan, Anwar disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara melebihi setahun yang menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.