Mahkamah Tinggi Tolak Saman Pemula Waytha Moorthy Terhadap Pelantikan Anwar Sebagai PM

LocalPolitics
18 Mar 2026 • 12:23 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pada 12 Ogos 2025, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy telah memfailkan saman pemula bagi mendapatkan deklarasi bahawa pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen (MP) Tambun adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.

Ini kerana jelasnya, pengampunan diraja yang diperoleh Anwar pada tahun 2018 tidak menyatakan bahawa beliau dikecualikan daripada tempoh hilang kelayakan bertanding dalam pilihan raya sebaik bebas dari penjara.

Ekoran itu, Waytha yang juga merupakan bekas Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) telah membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengisytiharkan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri serta pemilihan sebagai MP Tambun adalah tidak sah.

Jelas Waytha, dia mengambil tindakan ini untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Malaysia serta melindungi integriti demokrasi berparlimen Malaysia.

Baca Artikel Berkaitan: Peguam Mohon Lucut Kelayakan Anwar Sebagai PM & MP Tambun

Permohonan Waytha Tidak Mempunyai Merit & Bercanggah Dengan Peruntukan Di Bawah Perlembagaan Persekutuan

Terbaharu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini (18 Mac) menolak saman pemula yang difailkan oleh Waytha yang mencabar keabsahan pelantikan Anwar.

Keputusan itu dibuat setelah mahkamah mendapati permohonan yang dikemukakan tidak mempunyai merit serta bercanggah dengan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Hakim Alice Loke Yee Ching dalam penghakimannya, selaras dengan Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan, sebarang cabaran mahupun pemilihan ahli Dewan Rakyat seharusnya dikemukakan menerusi petisyen pilihan raya.

Mahkamah turut mengambil kira hujah yang dikemukakan oleh plaintif ketika prosiding berlangsung serta kegagalan membuktikan asas tuntutan mengikut undang-undang pilihan raya sedia ada.

Waytha Diarah Bayar Anwar RM80,000

Pada masa yang sama, mahkamah turut mengarahkan Waytha untuk membayar RM80,000 kepada Anwar.

Sebelum ini, hujah Waytha pernah disangkal oleh pihak pembelaan yang mewakili Anwar.

Tegas mereka, isu kehilangan kelayakan tidak berbangkit memandangkan Anwar yang juga Menteri Kewangan itu telahpun mendapat pengampunan penuh dari Yang di-Pertuan Agong Ke-15.

Pengampunan itu secara automatik telah membersihkan segala rekod sabitan serta mengembalikan hak Anwar untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya tanpa halangan.

Pada masa yang sama, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam hujah sokongan mereka turut menjelaskan tindakan plaintif yang mengemukakan saman pemula adalah salah mengikut prosedur yang ditetapkan.

Ini kerana berdasarkan Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, setiap cabaran terhadap keputusan pilihan raya mempunyai tempoh masa serta kaedah pemfailan khusus yang tidak dipatuhi dalam isu ini.

Baca Artikel Berkaitan: Peguam Mohon Lucut Kelayakan Anwar Sebagai PM & MP Tambun

Baca Artikel Berkaitan: Anwar Ibrahim Paling Layak Jadi Menteri Kewangan – Rafizi [Video]