Anwar berlepas ke Turkiye hari ini

LocalPolitics
6 Jan 2026 • 12:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar berlepas ke Ankara dari Pangkalan Udara TUDM Subang bagi memulakan lawatan kerja dua hari ke Turkiye. Foto Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa berlepas ke Turkiye untuk lawatan rasmi sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Anwar ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta delegasi Malaysia.

"Lawatan ini membuka ruang kerjasama lebih luas dalam pelbagai bidang berlandaskan nilai persahabatan dan saling menghormati yang telah terjalin sekian lama.

"Semoga segala urusan dipermudahkan, insya-ALLAH,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook.

Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi ke Turkiye bermula hari ini hingga 8 Januari.

Pada lawatan itu, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan, selain bersama-sama mempengerusikan Majlis Kerjasama Strategik Tahap Tinggi Malaysia-Turkiye.

Lawatan berkenaan mencerminkan komitmen bersama Malaysia dan Turkiye untuk mempertingkatkan kerjasama strategik secara lebih tersusun dan menyeluruh. - Bernama