
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa gabungan itu telah ‘diheret’ untuk menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, antara lain kerana wujud kepentingan politik tertentu termasuk usaha untuk membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, keputusan membubarkan kerajaan negeri Johor dibuat oleh Barisan Nasional (BN) kerana pihak berkenaan beranggapan mereka cukup kuat untuk kembali berkuasa di negeri tersebut.
“Pilihan raya tak perlu sekarang, dia (BN) paksa juga. Untuk apa? Sekarang kita dah tahu, sebab mereka rasa mereka cukup kuat nak berkuasa kembali seperti dulu, kemudian tentunya nak bebaskan Datuk Seri Najib,” katanya.
Anwar berkata, PH pada awalnya tidak merancang untuk terlibat dalam PRN tersebut, namun akhirnya terpaksa menyertainya bagi memastikan kestabilan politik negara dan negeri Johor dapat dikekalkan melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan politik penting bagi memastikan usaha pembangunan dapat dilaksanakan, khususnya dalam mengangkat martabat rakyat Johor, memandangkan negeri dan negara ini bukan negara miskin.
Baca juga:
‘PRN Johor tiada kaitan usaha bebaskan Najib’ – Tok Mat
Anwar dakwa PH diheret ke PRN Johor, isu pembebasan Najib jadi perhatian
‘Johor perlu berdiri sendiri, bukan lagi ‘feeder’ Singapura’ – Amirudin
Mengulas mengenai prinsip tadbir urus, Anwar memetik pandangan Mahatma Gandhi yang menggambarkan bahawa dunia ini cukup untuk memenuhi keperluan semua manusia, tetapi tidak pernah cukup untuk memenuhi ketamakan manusia.
“Kalau kita mahu hidup baik, Melayu, Cina, India, Orang Asli, Iban dan Kadazan, semua boleh hidup selesa dengan rumah dan pekerjaan. Tetapi jika negara kembali kepada amalan lama seperti mencuri kekayaan, memindahkan harta ke luar negara dan mengutamakan kepentingan peribadi, negara tidak akan maju,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mendakwa langkah BN mengadakan PRN Johor mempunyai agenda lebih besar iaitu untuk kembali menguasai pentadbiran negara.
Bagaimanapun, beliau berkata PH terbuka untuk menerima mana-mana pihak yang lebih baik dalam mentadbir negara, khususnya jika mereka mampu membuktikan komitmen terhadap tadbir urus yang bersih dan bebas rasuah.
“They want to control back the country. Okay. Tapi kalau control untuk apa? … Saya mahu negara ini tak mahu ada rasuah.
“Kalau much better team (daripada PH) saya salute, silakan. Tapi kalau yang saya kenal (BN), no way! Tak boleh, jahanam ini negeri,” katanya.
Sumber: Malaysia Gazette, Live Facebook Pakatan Harapan
The post Anwar dakwa PH diheret ke PRN Johor, isu pembebasan Najib jadi perhatian appeared first on The Reporter.






