Anwar dapatkan bantuan Prabowo teliti isu pelaburan Felda dalam Eagle High Plantations

LocalPolitics
21 Aug 2026 • 2:53 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Anwar dapatkan bantuan Prabowo teliti isu pelaburan Felda dalam Eagle High Plantations Image from: Anwar dapatkan bantuan Prabowo teliti isu pelaburan Felda dalam Eagle High Plantations hamden21/08/2026 - 14:53 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu beliau telah menulis surat kepada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bagi memohon bantuan untuk meneliti isu berkaitan pelaburan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam Eagle High Plantations.

 

Anwar berkata pelaburan tersebut merupakan antara contoh keputusan terdahulu membabitkan Felda yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit, dan menegaskan perkara seumpama itu tidak seharusnya berulang.

 

"Saya telah menulis surat kepada Presiden Prabowo supaya beliau turut melihat perkara ini. Jika ia tidak ditangani, kerugian akan mencecah RM2.5 bilion, sedangkan apa yang mungkin kita dapat pulihkan akhirnya hanya RM200 juta. Ini salah satu contohnya," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi libat urus bersama pengurusan tertinggi dan pengurus Felda di Bangi hari ini.

 

Dalam perkembangan berkaitan, pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat isu membabitkan Felda telah memulakan tugas, dengan hasil siasatan dijangka diumumkan selepas proses berkenaan selesai.

 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pasukan itu akan menjalankan kajian menyeluruh meliputi masalah lalu, penambahbaikan pengurusan serta langkah yang perlu diambil bagi memperkukuh Felda pada masa hadapan.

 

"Pasukan petugas khas telah memulakan tugasnya. Saya menunggu siasatan selesai sebelum kita mengumumkan hasilnya dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas sesi bersama kepimpinan dan pengurusan Felda.

 

Ketika ditanya mengenai skop siasatan, Anwar berkata ia akan meliputi semua aspek berkaitan, termasuk kelemahan terdahulu, pengurusan semasa serta hala tuju Felda.

 

"Segala-galanya, termasuk memperbaiki pengurusan dan mengenal pasti masalah lalu. Tetapi yang penting ialah pengurusan semasa dan langkah yang perlu diambil untuk bergerak ke hadapan," katanya.

 

Pada Sabtu, Anwar berkata kerajaan akan mendedahkan dakwaan kegagalan tadbir urus dalam Felda yang kini berdepan beban hutang yang besar.

 

Beliau menegaskan langkah tersebut bukan bertujuan untuk menghukum atau membuat kesimpulan awal terhadap mana-mana pihak, sebaliknya bagi mendapatkan fakta sebenar dan memastikan sebarang salah laku disiasat dengan sewajarnya.

 

Anwar turut berkata Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, telah menitahkan supaya siasatan terhadap kegagalan tadbir urus diperluaskan dan tidak hanya tertumpu kepada Lembaga Tabung Haji. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved