Anwar gesa COC Laut China Selatan dimuktamadkan

LocalPolitics
17 Nov 2026 • 6:59 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Anwar gesa COC Laut China Selatan dimuktamadkan

PETALING JAYA: Semua pihak digesa untuk memperbaharui komitmen politik bagi memuktamadkan Kod Tata Laku (COC) di Laut China Selatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rundi­ngan itu kini berada pada peringkat kritikal dan Malaysia selaku pengerusi bersama China akan terus berusaha mencapai persetujuan.

Menurutnya, Malaysia akan terus komited bagi meneruskan rundingan untuk menjamin ke­amanan dan kestabilan serantau.

“Komitmen politik baharu daripada semua delegasi amat penting bagi mencapai matlamat bersama kita untuk mewujudkan COC yang berkesan dan substantif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan negara semasa Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-29 di Manila, Filipina, semalam.

Malaysia merupakan negara penyelaras ASEAN bagi hubu­ngan dialog dengan China.

Selain itu, Anwar berkata, Protokol Naik Taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China, atau ACFTA 3.0, mula berkuat kuasa pada sidang kemuncak itu.

Katanya, oleh itu Malaysia mahu bekerjasama dengan China dalam pelaksanaan peruntukan berkaitan piawaian, persaingan dan perlindungan pengguna.

“Saya menyambut baik kemajuan pelaksanaan ACFTA 3.0 yang membuka lebih peluang perdagangan dan pelaburan khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

“Kerjasama ini juga perlu diperluas dalam bidang ekonomi digital, AI, pemindahan teknologi, pembangunan kemahiran serta peralihan tenaga bersih,” katanya.

Dalam pada itu, kata Anwar, hubungan ASEAN-China kekal kukuh ketika kedua-dua pihak memperingati ulang tahun ke-35 hubungan dialog dan ulang tahun kelima Perkongsian Strategik Komprehensif mereka.

Menurutnya, ASEAN mengalu-alukan sokongan berterusan China terhadap kepusatan ASEAN dan mekanisme yang diterajui ASEAN.

Ia termasuk kesediaan negara itu untuk menandatangani dan meratifikasi Protokol kepada Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara tanpa sebarang syarat.

“Kami menghargai sokongan padu China dalam menangani cabaran keselamatan bukan tradisional, termasuk peningkatan ancaman jenayah siber dan penipuan dalam talian,” katanya.

Mengulas mengenai Gaza, Anwar berkata, China telah menyumbang sebanyak AS$100 juta bagi bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula wilayah itu.

“Saya turut menegaskan pen­dirian Malaysia terhadap kekejaman yang berterusan ke atas rakyat Palestin, khususnya di Gaza. Malaysia juga menghargai sumbangan China dalam membantu usaha kemanusiaan dan pembinaan semula Gaza,” katanya.-UTUSAN.

The post Anwar gesa COC Laut China Selatan dimuktamadkan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved