liza13/11/2026 - 09:58 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Nov – Musim Monsun Timur Laut yang mengehadkan operasi perkapalan di Laut China Selatan dijangka memberi tekanan kepada prestasi Keyfield International Berhad pada suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY26) dan suku pertama FY27, susulan kekangan terhadap penempatan kapal sokongan luar pesisir.
TA Research berkata, musim monsun lazimnya mengehadkan operasi kapal di Laut China Selatan yang menyebabkan kadar penggunaan kapal merosot dalam tempoh berkenaan.
Bagaimanapun, pihak pengurusan Keyfield menjangkakan kadar penggunaan kapal antara 65% hingga 75% pada 4QFY26, lebih tinggi berbanding 50% dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Kadar penggunaan itu juga dijangka kekal melebihi 50% pada 1QFY27 berbanding 36% pada 1QFY26, menunjukkan penempatan kapal dijangka bertambah baik walaupun berdepan kekangan bermusim.
Keuntungan sembilan bulan merosot 58%
Dalam perkembangan berkaitan, keuntungan bersih teras Keyfield bagi sembilan bulan pertama FY26 merosot 58% kepada RM42.1 juta berbanding RM100.3 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Pencapaian itu masing-masing hanya memenuhi 57% daripada unjuran TA Research dan 59% daripada anggaran konsensus pasaran, terutamanya disebabkan kadar penggunaan kapal yang lebih rendah daripada jangkaan.
Susulan prestasi itu, TA Research menyemak turun unjuran keuntungan FY26 sebanyak 9.9% kepada RM66.6 juta, dengan mengambil kira andaian kadar penggunaan kapal sebanyak 55% berbanding 57% sebelum ini.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran keuntungan FY27 dan FY28 masing-masing pada RM136.2 juta dan RM138.1 juta, disokong jangkaan pemulihan aktiviti kapal sokongan luar pesisir mulai FY27.
Prestasi suku ketiga menunjukkan peningkatan
Bagi suku ketiga FY26, hasil Keyfield meningkat 30.3% tahun ke tahun kepada RM172.5 juta berbanding RM132.3 juta sebelumnya, disokong permintaan sewaan kapal yang lebih tinggi di kawasan operasinya.
Penggunaan kapal meningkat kepada 89% berbanding 81.4% dalam suku sama tahun sebelumnya, walaupun peningkatan itu sebahagiannya diimbangi kadar sewaan harian purata (DCR) yang lebih rendah bagi kapal kumpulan.
Keuntungan bersih teras bagi suku berkenaan meningkat 2.1% kepada RM42.6 juta berbanding RM41.7 juta setahun sebelumnya.
Berbanding suku kedua FY26, hasil meningkat 51.9% manakala keuntungan bersih teras melonjak 86.9%, didorong bermulanya kebanyakan kontrak kapal jenis AWB dan AHTS yang diperoleh pada suku sebelumnya serta peningkatan penempatan kapal selepas berakhirnya musim monsun di Laut China Selatan.
Kontrak baharu dan pasaran luar negara sokong prospek
TA Research menjangkakan keuntungan Keyfield kembali pulih mulai FY27, disokong permulaan kontrak baharu, pembaharuan kontrak sedia ada serta penempatan kapal untuk tempoh lebih panjang di Thailand dan Timur Tengah.
Selain itu, pemulihan perbelanjaan modal huluan PETRONAS dijangka memberi sokongan tambahan kepada kadar penggunaan kapal dan permintaan perkhidmatan sewaan kapal.
Dalam perkembangan lain, pengambilalihan kapal Inai Kenanga menandakan langkah pertama Keyfield memasuki segmen kerja pengorekan (dredging), sekali gus meluaskan pendedahannya melangkaui perkhidmatan sokongan luar pesisir konvensional.
Kapal itu disasarkan mula beroperasi menjelang pertengahan 2027 selepas kerja-kerja baik pulih, namun sumbangan keuntungannya bergantung kepada kos pembaikan, tempoh penempatan dan kadar penggunaan selepas mula beroperasi.
TA Research mengekalkan sasaran harga Keyfield pada RM1.74 sesaham berdasarkan gandaan 10 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) bagi tahun kalendar 2027, termasuk premium alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebanyak 3%.
Firma penyelidikan itu turut mengekalkan saranan Beli terhadap saham berkenaan, dengan sasaran harga tersebut mewakili potensi kenaikan 27.9% daripada harga dagangan terakhir RM1.36. - DagangNews.com





