
JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar menangguhkan pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 jika enggan Pakatan Harapan (PH) berdepan kemungkinan mengalami kekalahan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Anwar yang juga Pengerusi PH itu boleh membubarkan Parlimen pada saat akhir, memaksa PRU ke-16 diadakan awal tahun 2028.
Katanya, langkah itu akan memberi peluang kepada kerajaan Madani memperbaiki prestasi dan kelemahan termasuk memaklumkan kejayaan dasar dan polisi yang telah dilaksana sebelum ini.
“PH sudah tewas di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan. Berbaki 18 bulan sebelum PRU-16 diadakan, faktor ekonomi akan menjadi aset yang dimiliki kerajaan untuk ditawarkan kepada rakyat.
“Ketika ini rakyat masih tidak dapat melihat secara langsung kesan kekuatan mata wang ringgit Malaysia yang semakin baik dengan kadar inflasi rendah negara,” katanya selepas menyerahkan sebuah sampan kepada sukarelawan skuad bencana pada Program Minum Pagi Bersama Komuniti Flat Taman Molek, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor turut berkata, kekalahan berturut-turut dalam beberapa PRN negeri dijangka akan berterusan pada PRU sekiranya tiada langkah intervensi diambil.
“Strategi kempen yang betul perlu diambil. Orang PKR, orang PH marah bila saya cakap macam ini. Sebagai contoh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, kenapa apabila PRN Negeri Sembilan baharu nak didedah sedangkan perkara itu sudah siap bertahun-tahun lalu.
“Apabila dedah ketika waktu pilihan raya, lagi dua tiga hari untuk mengundi, orang akan nampak seolah-olah ada agenda, rakyat bukan bodoh, ini seperti ada udang di sebalik sesuatu, jadi tidak cantiklah.
“Anwar Ibrahim ini baik sangat, dia menjaga hati kawan-kawan jangan dedahkan RCI itu. Tetapi akhirnya apa berlaku? Bermakna kebaikan hati Anwar tidak berbalas,” katanya.-UTUSAN
The post Anwar Ibrahim perlu tangguh PRU ke-16 ke saat akhir elak PH terus kalah appeared first on Utusan Malaysia.





