
PETALING JAYA: PKR berisiko terkubur sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan secara mengejut dalam tempoh terdekat, susulan keputusan dua pilihan raya negeri (PRN) lalu yang tidak memberangsangkan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ahli parti itu perlu meyakinkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak terburu-buru mengambil tindakan d di sebalik desakan agar Parlimen dibubarkan lebih awal sebelum tamat tempoh mandat.
“Yakinkan pemimpin kita Anwar Ibrahim supaya jangan mudah latah. Beritahu Anwar supaya jangan adakan PRU16 waktu terdekat ini. Beri semangat kepada Anwar supaya tadbir kerajaan pusat Malaysia baik-baik sehingga tempoh mandat penuh iaitu akhir tahun 2027 atau awal 2028.
“Cakap baik-baik pada Anwar Ibrahim bahawasanya dari perspektif strategi politik adalah pilihan yang tepat agar Kerajaan Madani mentadbir kerajaan pusat hingga tempoh penuh, seandainya PKR dan PH hendak menang dalam PRU16. Kalau nak kalah, buatlah PRU16 secara mengejut supaya PKR terutamanya mati terkejut.
“Mengapa saya kata begitu? Jika diadakan PRU16 mengejut, maka kesan kekalahan berturut-turut dari Sabah, Johor dan Negeri Sembilan akan meletakkan pentadbiran kerajaan pusat serta anggota dan penyokong parti PKR dalam keadaan hilang arah dan semangat.
“Sebaliknya jika PRU16 diadakan pada 12 bulan hingga 18 bulan akan datang, keletihan rakyat sebagai pengundi akan beransur hilang dan momentum parti-parti lawan akan berkurangan kerana masa.Tidakkah masa itu merawat luka?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Hassan, PKR tidak seharusnya menganggap kekalahan dalam beberapa siri PRN sebagai petanda parti itu sudah berakhir, sebaliknya perlu bangkit menyusun strategi menghadapi PRU16.
Beliau berkata, kehilangan pentadbiran Negeri Sembilan pada PRN semalam selepas kekalahan di Johor dan Sabah sebelum ini bukan bermakna PKR sudah ‘bungkus’ atau kehilangan masa depan politiknya.
“Jadi, jangan menangis PKR. Anda parti reformasi. Malu jika menangis. Kita orang perjuangan. Kita berani berjuang, berani menang dan berani kena tendang,” katanya. – UTUSAN
The post PKR kalah jika buat PRU16 awal appeared first on Utusan Malaysia.






