Anwar ingatkan rakyat jangan biar isu kaum cetus perpecahan

LocalPolitics
19 Jul 2026 • 12:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Anwar ingatkan rakyat jangan biar isu kaum cetus perpecahan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 (MPBKKJG 2026) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS) Tanjung Rambutan pada Ahad. Foto Bernama

IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan agar rakyat tidak membiarkan perbezaan kaum, agama dan budaya dimanipulasi sehingga mencetuskan perpecahan.

Menurutnya, sejarah telah membuktikan bahawa kemerdekaan negara dicapai melalui penyertaan semua kaum dengan tunjang utama kekuatan orang Melayu.

Menurutnya, perbincangan yang perlu diberi keutamaan adalah terhadap usaha mengangkat martabat dan darjat rakyat serta negara, bukannya berbicara mengenai perbezaan kulit, mata dan hidung.

"Tidaklah mungkin kemerdekaan itu dicapai tanpa bersama kaum Cina, India serta kaum-kaum lain termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Bila kita mengambil semangat begitu, tidak timbullah isu sudah Merdeka Tanah Melayu hampir 70 tahun dan 60 tahun bersama Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS) di sini pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Anwar berkata, konsep ‘Bersekutu Bertambah Mutu’ yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj perlu terus dijadikan pegangan dalam memperkukuh perpaduan.

Katanya, prinsip tersebut selari dengan konsep ‘unity in diversity’ yang menekankan penerimaan terhadap kepelbagaian sebagai kekuatan negara.

"Kita bersatu untuk menambahkan mutu kehidupan bangsa, bukannya bersatu untuk merompak, mencuri balak dan harta rakyat.

"Jadi sebab itu, dalam kerangka Madani, kita tambah elemen dari sudut nilai agar negara ini menjadi hebat dan berjaya," katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu turut menegaskan bahawa pengisian kemerdekaan hari ini perlu memberi tumpuan kepada pembangunan negara termasuk dalam bidang teknologi, ekonomi dan kebajikan rakyat.

Tambahnya, usaha itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab untuk memastikan kekayaan negara dapat dicurahkan dan dikongsi secara adil dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

“Bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi mengibarnya dengan rasa megah sebagai generasi yang memahami keringat nenek moyang lalu dan beriltizam membina masa depan negara,” katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved