Anwar mahu siasatan kematian Noorizwan telus tanpa kompromi

LocalPolitics
24 Oct 2026 • 2:15 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Anwar mahu siasatan kematian Noorizwan telus tanpa kompromi

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu siasatan kes kematian Allahyarham Noorizwan Zulkefly dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa kompromi.

Beliau berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail telah dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes berkenaan dan perkembangan siasatan perlu dimaklumkan kepada keluarga Allahyarham.

“Saya mengambil maklum kehadiran keluarga Allahyarham Noorizwan Zulkefly untuk menyerahkan surat rayuan kepada saya hari ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sebelum ini, Allahyarham ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berkait kes yang disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Pada 30 September lalu, Noorizwan dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 1.52 pagi, 1 Oktober.

Perdana Menteri menzahirkan perasaan dukacita atas pemergian itu serta memahami kesedihan dan keresahan keluarga yang menantikan jawapan berhubung kes berkenaan.

Mengenai penyerahan surat rayuan, Anwar memaklumkan pegawainya akan menerima surat itu kerana perlu menghadiri beberapa program di Melaka hari ini.

“Saya telah mewakilkan pegawai saya untuk menerima surat tersebut serta mendengar sendiri perkara yang dibangkitkan keluarga,” katanya. – UTUSAN 

The post Anwar mahu siasatan kematian Noorizwan telus tanpa kompromi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved