Kematian Noorizwan Harus Disiasat Dengan Bebas, Pengawasan Lokap Perlu Diperketat - Sivamalar

LocalPolitics
24 Oct 2026 • 5:40 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Kematian Noorizwan Harus Disiasat Dengan Bebas, Pengawasan Lokap Perlu Diperketat - Sivamalar

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) harus memastikan kematian Noorizwan Zulkefly disiasat secara bebas dan keluarganya dapat menuntut keadilan tanpa halangan.

Menegaskan perkara itu, Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy berkata, rekod kematian dalam tahanan polis membuktikan isu berkenaan memerlukan perhatian segera. 

Menurut beliau, angka yang diumumkan Timbalan Menteri Dalam Negeri di Dewan Rakyat pada 8 Julai lalu merekodkan 12 kes pada 2023, sebelum meningkat kepada 13 pada 2024 dan 22 pada 2025. 

“Kerajaan harus mempercepatkan reformasi pengurusan tahanan, memperketat pengawasan lokap dan memastikan kebajikan serta keselamatan tahanan terjamin. 

“Penahanan bukanlah suatu hukuman, dan tiada sesiapa pun boleh dinafikan hak untuk hidup serta mendapat perlindungan undang-undang hanya kerana disyaki melakukan kesalahan,” katanya. 

Tegas Sivamalar, beliau sebagai seorang peguam banyak terlibat dengan perjuangan menentang kematian dalam tahanan sebelum menyertai politik. 

“Pendirian saya tidak pernah berubah. Ketika menjadi pembangkang, kita menolak penyalahgunaan kuasa, mempertahankan hak peguam dan menuntut tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab. 

“Prinsip yang sama wajib ditegakkan ketika berada dalam kerajaan. Pentadbiran MADANI perlu memberikan keutamaan kepada reformasi menyeluruh terhadap sistem tahanan, memperkukuh mekanisme pengawasan dan memastikan akauntabiliti pihak berkuasa,” katanya.

Beliau menarik perhatian, keluarga Noorizwan telah kehilangan insan tersayang ketika Allahyarham berada dalam jagaan pihak berkuasa dan kehilangan itu tidak mungkin dapat diganti.

“Mereka berhak mengetahui kebenaran, mendapat pembelaan dan melihat keadilan ditegakkan. Kematian dalam tahanan menuntut jawapan yang jelas. Kenyataan bahawa siasatan sedang berjalan sahaja tidak memadai,” katanya.

“Dakwaan peguam keluarganya mengenai 21 kecederaan, termasuk kecederaan akibat objek tumpul pada tubuh arwah, memerlukan penjelasan daripada PDRM,” katanya.

Sivamalar mengulas lanjut, Ketua Polis Negara perlu memastikan semua bukti diperiksa dan tiada sesiapa dilindungi daripada siasatan. 

Sebarang kecuaian dan salah laku yang dikenal pasti tambahnya, harus disusuli tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Ketika keluarga arwah masih menunggu penjelasan, siasatan terhadap peguam yang mewakili mereka menimbulkan kebimbangan terhadap kebebasan peguam dalam membela anak guamnya. 

“Usaha mendapatkan maklumat dan meneliti gambar bedah siasat tidak seharusnya menyebabkan peguam berdepan dengan siasatan. PDRM perlu menjelaskan asas siasatan tersebut,” katanya. 

Tegas beliau, perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, yang menjunjung prinsip keadilan, kedaulatan undang-undang dan penghormatan terhadap hak asasi manusia.

“Kerajaan MADANI memikul tanggungjawab moral untuk memastikan keluarga ini tidak dibiarkan berjuang sendirian mencari keadilan. 

“Jangan biarkan sebuah keluarga yang sedang berduka terpaksa pula bertarung dengan sistem untuk mendapatkan jawapan tentang kematian insan tersayang,” katanya. - Getaran, 24 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved