Anwar menafikan dakwaan buka jalan pengampunan Najib

LocalPolitics
20 Sep 2026 • 9:52 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Anwar menafikan dakwaan buka jalan pengampunan Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan membuka jalan bagi pengampunan bersyarat Datuk Seri Najib Tun Razak.

SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa beliau membuka jalan bagi pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak, sebaliknya menegaskan bahawa setiap banduan berhak mengemukakan permohonan pengampunan  untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan.

Anwar berkata Lembaga Pengampunan mempunyai bidang kuasa untuk menilai sesuatu permohonan dengan mengambil kira nasihat Perdana Menteri dan Peguam Negara di peringkat Kerajaan Persekutuan, manakala keputusan muktamad terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

“Saya sebut setiap banduan berhak mengemukakan (rayuan) dan saya tetap pertahan hak itu kepada sesiapa pun termasuk Datuk Seri Najib, ada hak untuk mengemukakan rayuannya untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Agong.

“Ada suara-suara sumbang rakan-rakan kita dulu kata ini (kerja) Pakatan (Harapan). Saya Perdana Menteri tidak mahu cakap kasar, boleh kritik saya tetapi tidak betul…mereka yang ada dalam kerajaan tahu pendirian saya daripada awal…kalau nak menang undi pun bukan dengan cara menipu. Dia kata sayalah yang membuka jalan, tidak betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Selangor International Trade Centre (SITC), di sini hari ini.

Anwar berkata bidang kuasa berhubung pengampunan dan penganugerahan pingat merupakan budi bicara Sultan dan Raja di sesebuah negeri atau Yang di-Pertuan Agong, selaras  dengan prinsip Perlembagaan.

Beliau berkata pandangan yang disampaikannya sebelum ini berkaitan pengampunan bekas perdana menteri itu bukan bertujuan mempengaruhi keputusan berkenaan, sebaliknya turut menyentuh kira kes-kes yang masih berjalan, jumlah denda yang besar serta kesannya kepada keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dan pandangan antarabangsa.

Pada masa sama, Anwar berkata pemberian pengampunan tidak menghalang proses perundangan terhadap kes-kes lain yang masih berjalan, termasuk kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes sivil.

Beliau turut menegaskan pendirian Kerajaan MADANI untuk terus memerangi rasuah dan memastikan kes-kes berkaitan salah guna kuasa disiasat serta dibawa melalui proses undang-undang.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Jumaat, memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara, Jumaat lepas.

Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan, manakala sebarang pertikaian berkaitan institusi diraja perlu diselesaikan mengikut Perlembagaan serta undang-undang.

Beliau berkata jentera kerajaan akan digunakan sepenuhnya untuk mempertahankan sistem Raja-Raja Melayu di negara ini. 

“Majlis Kerajaan Negeri bermesyuarat guling Raja, hak siapa?…masa menang pilihan raya ada kamu sebut dalam manifesto kalau kami menang kami akan gulingkan raja? Tidak ada. Jadi orang bagi sokongan kepada kamu untuk pertahankan sistem Raja. (Tetapi) kamu menang, kamu tolak raja,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved