Pelaksanaan tahanan rumah Najib cuma tunggu arahan rasmi

LocalPolitics
21 Sep 2026 • 7:08 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pelaksanaan tahanan rumah Najib cuma tunggu arahan rasmi

PETALING JAYA: Jabatan Penjara Malaysia bersedia melaksanakan sebarang arahan rasmi berhubung keputusan Lembaga Pengampunan yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah.

Namun sehingga kini jabatan itu memaklumkan, masih me­nunggu pemakluman rasmi secara bertulis berhubung keputusan tersebut sebelum sebarang tindakan lanjut bagi melaksanakan keputusan berkenaan dapat ditentukan.

Katanya, sebagai ­makluman, sebarang pemakluman dan dokumen rasmi berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan akan disampaikan melalui saluran rasmi yang sewajarnya sebelum dikemukakan kepada Jabatan Penjara Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

“Jabatan Penjara Malaysia sentiasa bersedia untuk melaksanakan sebarang arahan rasmi yang diterima daripada pihak berkuasa yang berkenaan, selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan penjara serta tata cara dan prosedur yang sedang berkuat kuasa.

“Jabatan ini akan melaksanakan sebarang keputusan dan arahan yang diterima secara teratur, profesional dan berintegriti, selaras dengan peruntukan undang-undang serta ketetapan pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, Jabatan Penjara menyeru semua pihak supaya merujuk kepada sumber rasmi dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung pelaksanaan keputusan berkenaan.

Sementara itu, sumber memaklumkan kepada Utusan Malaysia surat rasmi berhubung keputusan membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah sepatutnya boleh dikeluarkan dalam jangka masa terdekat.

Bagaimanapun, tempoh masa bagi mengeluarkan dokumentasi rasmi itu bagaimanapun belum dapat dipastikan secara terperinci.

“Mungkin tindakan ini me­ngambil masa selama tiga hari, atau dua minggu. Tetapi secara amnya, dalam keadaan sebegini, perkara itu sepatutnya boleh dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya ringkas.

Kata sumber itu, tiada had masa ditetapkan untuk Najib menjelaskan bayaran denda RM50 juta susulan keputusan yang membenarkannya menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.

“Selagi RM50 juta itu belum dibayar, Najib masih berada di dalam penjara. Selepas bayaran dibuat pun, masih ada proses-proses seterusnya yang perlu dilalui sebelum pelaksanaan tahanan rumah dapat dibuat,” jelasnya.

Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar ketika dihubungi turut memaklumkan, prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak akan diperincikan oleh Jabatan Penjara.

Malah, katanya, sebarang pemakluman rasmi juga me­ngenai pelaksanaan tahanan rumah adalah tertakluk Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum

Jabatan Penjara mengambil tindakan berdasarkan keputusan berkenaan.

“Mereka akan memperinci­kan aspek lawatan, kawalan serta pemantauan pergerakan bekas Perdana Menteri itu. Mungkin ada SOP yang akan dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi.- UTUSAN

The post Pelaksanaan tahanan rumah Najib cuma tunggu arahan rasmi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved