Anwar perkuat 'pasukan politik' dengan Tengku Zafrul

LocalPolitics
5 Mar 2026 • 9:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tengku Zafrul dilihat mampu memberi perspektif baharu dan membantu PM dalam suasana politik yang mencabar.

PENGUMUMAN pelantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu menarik perhatian ramai.

Media terdahulu melaporkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan pelantikan itu dipersetujui oleh Anwar bagi tempoh selama dua tahun.

Ia juga bagi mengisi kekosongan jawatan Setiausaha Politik (Kanan) kepada Perdana Menteri.

Ada yang mengalu-alukan pelantikan itu kerana Tengku Zafrul dilihat mampu memberi perspektif baharu dan membantu Perdana Menteri membuat keputusan dengan lebih mantap dalam suasana politik yang agak 'panas' dan mencabar pada waktu ini.

Ketika ini pelbagai isu politik sedang hangat diperkatakan termasuk mengenai kestabilan gabungan kerajaan, hubungan antara parti dalam blok pemerintah serta persepsi rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

Seperti yang diketahui, sebelum ini Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, kongres khas DAP akan diawalkan sekiranya mesyuarat Kabinet menolak cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat dakwaan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersekongkol dengan 'mafia korporat'.

Kongres khas berkenaan dijadualkan berlangsung pada 12 Julai depan bagi membolehkan perwakilan memutuskan sama ada pemimpin mereka harus melepaskan jawatan kerajaan atau tidak.

Pelantikan Tengku Zafrul turut menimbulkan rasa 'kurang senang' segelintir pihak kerana beliau baru sahaja menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diterajui Anwar pada Ogos tahun lalu.

Tengku Zafrul kini merupakan ahli PKR bagi cabang Ampang selepas keluar daripada UMNO pada 2 Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, dari sudut strategik, pemilihan beliau ke jawatan tersebut boleh dilihat sebagai usaha Perdana Menteri untuk mengukuhkan pasukan teras politik dengan individu yang mempunyai jaringan dan pengalaman merentas parti, sekali gus menenangkan ahli politik dan penyokong yang menuntut kestabilan dalam pentadbiran.

Jawatan Penasihat Kanan Politik memberi Tengku Zafrul ruang untuk menasihati Perdana Menteri mengenai isu-isu sensitif politik termasuk strategi rundingan dengan parti komponen, pembahagian jawatan penting dan penyelarasan dasar yang mungkin menimbulkan tentangan dalaman.

Kehadiran beliau juga boleh menjadi pengimbang dalam pentadbiran terutama dalam menilai kesan langkah politik terhadap sokongan rakyat, imej kerajaan dan persepsi pelabur terhadap kestabilan politik negara.

Pelantikan ini juga menzahirkan mesej bahawa kerajaan bersedia menggunakan kepakaran teknokrat yang mempunyai pengalaman politik tanpa mengira latar belakang parti terdahulu asalkan dapat menyokong visi Perdana Menteri.