Anwar persoal kekayaan anak Tun Mahathir, gesa jelaskan atau pulangkan kepada kerajaan

LocalPolitics
30 Jul 2025 • 9:45 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan kekayaan luar biasa dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan menuntut penjelasan tentang sumber dana mereka, atau memulangkan semula wang itu kepada kerajaan.

Dalam temu bual bersama wartawan Indonesia, Najwa Shihab, Anwar menyifatkan angka kekayaan yang diumumkan sendiri oleh anak-anak Mahathir sebagai sesuatu yang mengejutkan dan wajar disiasat.

“Kalau seseorang itu sendiri isytihar ada aset RM1.2 bilion dan seorang lagi RM4 bilion, wajarlah mereka bayar balik (kepada kerajaan) melainkan mereka boleh jelaskan dari mana datangnya wang itu,” katanya.

@najwashihab

Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim melakukan kunjungan ke Indonesia, berjumpa dengan Presiden Prabowo Subianto untuk membahas beberapa hal dan kerjasama antara dua negara. Di sela-sela itu, kepada Mata Najwa, ia merespons tentang demo besar di Malaysia yang mendesaknya turun dari kursi Perdana Menteri. Simak yuk. | Mata Najwa #MataNajwaAnwarIbrahim #AnwarIbrahim #JadiPaham

♬ original sound – Najwa Shihab – Najwa Shihab

Baca juga:

Mirzan & Mokhzani perlu jawab

Setakat ini, Tan Sri Mokhzani Mahathir dilaporkan memiliki aset sekitar RM1 bilion, manakala Mirzan Mahathir mengisytiharkan RM246.2 juta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Namun Anwar menyatakan beliau tidak menuduh secara sembarangan dan menyerahkan perkara itu kepada siasatan SPRM.

‘Pembangkang lindungi kekayaan luar biasa?’

Dalam masa sama, Anwar turut membidas sikap pembangkang yang dilihat mempertahankan individu kaya luar biasa, sedangkan mereka selama ini kononnya menentang rasuah.

“Pelik, pembangkang pula yang mempertahankan isu seperti ini. Sepatutnya mereka barisan paling lantang menentang rasuah.

“Apa perlunya anak perdana menteri atau menteri ada kekayaan berbillion ringgit? Kita mesti hentikan budaya ini,” tegasnya.

Menurut beliau, perjuangan reformasi tidak boleh sekadar slogan atau peraturan atas kertas, sebaliknya mesti dilaksanakan secara nyata dan konsisten.

Temubual itu dibuat ketika Anwar berada di Jakarta dalam lawatan kerja dua hari untuk menghadiri Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia Ke-13 bersama Presiden Prabowo Subianto.