Anwar Persoal Sikap Rafizi Ketika Berkuasa, ‘Kenapa Tak Bangkit Isu Jenayah Korporat Waktu Itu?’

LocalPolitics
20 Oct 2026 • 5:12 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Anwar Persoal Sikap Rafizi Ketika Berkuasa, ‘Kenapa Tak Bangkit Isu Jenayah Korporat Waktu Itu?’

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang didakwa tidak membangkitkan isu jenayah korporat ketika masih berada dalam kerajaan.

Menurut Anwar, sebarang kepincangan perlu ditegur dan ditangani ketika seseorang masih mempunyai kuasa untuk melakukan pembetulan, bukannya selepas meninggalkan jawatan.

Beliau berkata, anggota Kabinet sentiasa diingatkan supaya menggunakan kedudukan masing-masing bagi memastikan kelemahan dalam sistem pentadbiran dapat diperbetulkan sepanjang tempoh perkhidmatan.

“Ketika menjadi menteri, ada yang tidak bersuara. Apabila sudah bersara, meninggalkan Kabinet atau menjadi pembangkang, barulah perkara itu mahu dibangkitkan, sedangkan sebelum ini mereka juga berada dalam kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) mengenai perkembangan siasatan terhadap dakwaan kegiatan mafia korporat, termasuk kemungkinan pelanggaran undang-undang dan tindakan penguatkuasaan yang telah diambil, pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan berdepan legasi sistem yang disifatkannya kurang telus, dengan dakwaan jenayah korporat dan manipulasi pasaran telah berlarutan selama bertahun-tahun.

Beliau mendakwa, beberapa urus niaga besar melibatkan syarikat korporat dan institusi perbankan turut dikaitkan dengan campur tangan politik.

Antara yang dibangkitkan ialah penjualan Multi-Purpose Holdings Bhd (MPHB) kepada kumpulan diketuai Datuk Seri Akbar Khan. 

Dakwa Perdana Menteri, urus niaga itu mempunyai kaitan dengan seorang bekas Menteri Kewangan yang memiliki pengaruh dan sumber kewangan besar.

Beliau turut menyentuh perkembangan membabitkan RHB Bank, dengan mendakwa Tan Sri Rashid Hussain, yang sebelum itu menguruskan bank berkenaan, terpaksa melepaskan pegangannya sehingga kepentingan tersebut akhirnya beralih kepada pihak dikaitkan dengan bekas Menteri Kewangan itu.

Dalam kes berasingan, Anwar berkata, Phileo Allied Bank pernah mencatat perkembangan pesat sebelum penyusunan semula sektor perbankan atas arahan kerajaan, sekali gus membawa kepada pelupusan kepentingan dalam institusi berkenaan.

Beliau mendakwa urus niaga itu turut mempunyai kaitan dengan kepentingan bekas menteri terbabit dalam Langkah Bahagia Sdn Bhd.

Sehubungan itu, Anwar menegaskan, agensi penguatkuasaan perlu menjalankan tugas secara telus bagi memastikan sebarang salah laku korporat dapat ditangani tanpa campur tangan atau pilih kasih.

Agensi yang disebut termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada masa sama, beliau memaklumkan, tindakan penguatkuasaan SC berkaitan kes jenayah korporat meningkat antara dua hingga tiga kali ganda sejak 2023 berbanding tahun-tahun sebelumnya. - Getaran, 20 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved