Anwar saman Tuan Ibrahim, dakwa kenyataan ceramah jejaskan reputasi

LocalPolitics
11 Aug 2026 • 10:40 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Anwar saman Tuan Ibrahim, dakwa kenyataan ceramah jejaskan reputasi

KUALA LUMPUR – Pertikaian antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kini dibawa ke Mahkamah Tinggi selepas Anwar memfailkan saman fitnah terhadap pemimpin Pas itu.

Saman berkenaan difailkan menerusi Tetuan S.N. Nair & Partners di Mahkamah Tinggi di sini semalam, dengan Tuan Ibrahim dinamakan sebagai defendan.

Tindakan undang-undang itu berpunca daripada kenyataan yang didakwa dibuat Tuan Ibrahim ketika menyampaikan ceramah politik di Felda Jenderak Utara, Kuala Krau, Pahang pada 14 Jun lalu.

Menurut pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa kenyataan tersebut secara langsung merujuk kepada dirinya, termasuk watak, integriti, jawatan, profesion serta kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Anwar turut mendakwa kenyataan berkenaan tidak benar, palsu, tidak berasas, keterlaluan dan berniat jahat kerana dibuat tanpa fakta atau bukti sokongan yang munasabah.

Antara perkara yang menjadi pertikaian ialah dakwaan berkaitan campur tangan dalam proses pemilihan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Anwar menegaskan beliau “tidak pernah campur tangan sama ada secara langsung atau tidak langsung” dalam menentukan, memilih, mengundi atau melantik Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mengikut proses perlembagaan dan adat negeri itu.

Kenyataan berkenaan kemudiannya didakwa tersebar melalui beberapa platform media sosial, termasuk YouTube, Facebook Tuan Ibrahim serta akaun Facebook Pas Pahang. Klip di YouTube yang dinamakan dalam saman itu dilaporkan telah meraih lebih 20,000 tontonan, 482 tanda suka dan 65 komen ketika tindakan difailkan.

Perdana Menteri mendakwa penyebaran kenyataan tersebut telah menyebabkan kerosakan serius terhadap reputasi, maruah, integriti, kredibiliti dan nama baiknya, termasuk dalam kapasiti sebagai Menteri Kewangan, Presiden PKR, Pengerusi Pakatan Harapan dan Ahli Parlimen Tambun.

Justeru, Anwar memohon perintah injunksi bagi menghalang Tuan Ibrahim atau wakilnya daripada terus menerbitkan atau menerbitkan semula kenyataan yang didakwa memfitnah itu.

Beliau turut menuntut supaya semua penerbitan berkenaan dipadam daripada akaun media sosial, platform atau penerbitan di bawah milikan, jagaan atau kawalan defendan, selain menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Sebelum saman difailkan, Anwar melalui peguamnya dilaporkan telah memberi tempoh 48 jam kepada Tuan Ibrahim untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut.

The post Anwar saman Tuan Ibrahim, dakwa kenyataan ceramah jejaskan reputasi appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved