Kenyataan dalam ceramah: Anwar saman Tuan Ibrahim

LocalPolitics
11 Aug 2026 • 9:50 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kenyataan dalam ceramah: Anwar saman Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Saman fitnah itu berhubung kenyataan yang dibuat Tuan Ibrahim dalam satu ceramah politik di Pahang pada Jun lalu.

Anwar selaku plaintif memfailkan tuntutan itu menerusi firma guaman Tetuan S.N. Nair & Partners di Mahkamah Tinggi di sini semalam dengan menamakan Tuan Ibrahim sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa defendan telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah yang merujuk kepadanya ketika berucap dalam satu ceramah politik di Felda Jenderak Utara, Kuala Krau pada 14 Jun lepas di hadapan orang awam dan wakil media yang hadir.

Beliau berkata klip video ucapan itu kemudian dimuat naik, diterbitkan atau diterbitkan semula di akaun YouTube “@Malaysianometry” pada keesokannya dengan tajuk “Tuan Ibrahim: Pengulas bola direhatkan lepas sertai Pas, ini tanda-tanda PH nak mampus”.

Menurut plaintif, setakat tarikh pemfailan tindakan saman itu, klip video berdurasi 11 minit tersebut telah menerima lebih 20,000 tontonan, 482 tanda suka dan 65 komen selain terus boleh diakses, ditonton serta dikongsi oleh orang awam.

Anwar berkata pada 15 Jun lalu, Tuan Ibrahim telah menerbitkan video klip yang mempunyai kenyataan fitnah itu menerusi akaun Facebook rasminya iaitu @Tuan Ibrahim Tuan Man dan pada 24 Jun lepas, ia turut dimuat naik di akaun Facebook “Pas Pahang”.

Beliau mendakwa perkataan fitnah itu secara khusus dan langsung merujuk kepada diri, watak, integriti, jawatan, profesion atau kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Pernyataan tuntutan itu turut menjelaskan perkataan-perkataan memfitnah tersebut adalah tidak benar, palsu, tidak berasas, keterlaluan dan berniat jahat serta telah diungkap atau diterbitkan tanpa sebarang fakta atau bukti sokongan yang munasabah.

Tambahnya, beliau tidak pernah campur tangan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menentukan, memilih, mengundi atau melantik Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dalam proses perlembagaan atau adat yang berkaitan dengannya di negeri berkenaan.

Anwar berkata disebabkan tindakan defendan itu, beliau mengalami kerosakan serius terhadap reputasi, watak, maruah, integriti, kredibiliti, nama baik serta kedudukannya secara peribadi mahupun dalam kapasiti sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Presiden PKR, Pengerusi Pakatan Harapan dan Ahli Parlimen Tambun.

Justeru, beliau memohon perintah injunksi untuk menghalang Tuan Ibrahim atau wakilnya daripada terus menerbitkan atau menerbitkan semula perkataan-perkataan memfitnah itu.

Perdana Menteri juga menuntut defendan memadamkan penerbitan fitnah di mana-mana akaun media sosial, platform atau penerbitan yang berada dalam milikan, jagaan atau kawalannya selain ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE

The post Kenyataan dalam ceramah: Anwar saman Tuan Ibrahim appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved