Anwar saran alumni turut teliti status UiTM Holdings

LocalBusiness & Finance
26 Sep 2026 • 6:15 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

UiTM Holdings

SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerjasama daripada Persekutuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan pengurusan universiti bagi menyiasat kerugian dialami UiTM Holdings Sdn. Bhd. (UiTM Holdings).

Beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri (JPM) turut akan bekerjasama dan menekankan tindakan akan diambil jika terdapat penipuan, penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan.

“Saya alu-alukan Saiful Azhar (Presiden PAUiTM, Saiful Azhar Shaharun), sila melihat tentang UiTM Holdings dan mencari jalan bekerjasama dengan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin dan JPM, pejabat saya akan berikan kerjasama,” katanya dalam forum sempena Himpunan Mesra Alumni UiTM bersama Perdana Menteri di sini, hari ini.

Pada 2023, Utusan Malaysia mendedahkan sayap pelaburan UiTM yang sepatutnya menjana pendapatan kepada universiti itu direkod mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM157.04 juta bagi tempoh empat tahun berturut-turut.

Berdasarkan laporan kewa­ngan pada 2017 hingga 2021, syarikat yang menjadi harapan UiTM itu juga didapati tidak memaklumkan laporan kewa­ngannya bagi tahun 2020, jus­teru kerugian terkumpul dica­tatkan dalam tempoh 10 tahun adalah sebanyak RM157.8 juta.

Perkara itu kemudian dibangkitkan oleh seorang alumni, Datuk Dr. Khairuddin Othman dalam forum tersebut apabila mempersoal kedudukan syarikat terbabit, namun sehingga kini tiada kesudahannya.

Perhatian terhadap UiTM Holdings seharusnya dilihat seperti mana tindakan diambil selepas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) didedahkan dan siasatan terhadap terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Jelas Menteri Kewangan itu, tindakan dan siasatan dibuat bukan disebabkan syarikat mengalami kerugian semata-mata, sebaliknya mengesan pengkhianatan dan penyalahgunaan kuasa dalam kedua-dua institusi tersebut.

“Saya lebih tegas kepada agensi Bumiputera memang betul. Kerana itu patut jadi contoh dan saya yakin orang Islam yang baik seperti dijamin dalam Al-Quran, orang Islam itu umat yang hebat tetapi kekal seimbang dunia dan akhirat.

“Bukan kita beri hukuman sekarang, kaji dahulu apakah kelemahan biasa, itu diperbaiki, tukar orangnya. Berpuluh agensi kita tukar. Tetapi kalau tak betul, ada kecurangan mesti ambil tindakan.

“Kita tidak hukum orang sebab syarikat itu rugi. Kita hukum kalau ada penipuan, penyalahgunaan kuasa, sakau, bukan disebabkan rugi. Jadi saya hendak tegaskan, kerana itu (Felda) juga dibangkitkan,” tegasnya.

Terdahulu, Anwar dalam ucapannya memaklumkan UiTM di bawah pentadbirannya menerima peningkatan peruntukan sejak tiga tahun lalu daripada RM2 bilion kepada RM3.08 bilion bagi perbelanjaan tahun ini. – UTUSAN

The post Anwar saran alumni turut teliti status UiTM Holdings appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved