Belanjawan 2027: Kerajaan akan umum langkah tegas pastikan gaji yang adil – Anwar 

LocalPolitics
26 Sep 2026 • 4:31 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Belanjawan 2027: Kerajaan akan umum langkah tegas pastikan gaji yang adil – Anwar 

SHAH ALAM: Kerajaan akan mengumumkan langkah-langkah yang lebih tegas bagi memastikan graduan mendapat pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan mereka serta gaji yang adil dalam Belanjawan 2027, yang akan dibentangkan pada 9 Okt.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan ketika ini dalam peringkat akhir menyiapkan belanjawan tersebut dan akan merangka usaha yang lebih serius, agar kenaikan gaji setara dengan kelayakan para graduan.

“Saya pernah buat kajian dulu tentang kenaikan produktiviti dan kenaikan upah. Contoh Korea Selatan terutamanya, produktiviti tinggi, upah pun ikut (meningkat).

“Di Malaysia, produktiviti terus meningkat, tapi kadar upah itu meningkat sedikit sahaja. Jadi terpaksa kita gunakan kuasa kerajaan untuk menekan sedikit,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan dalam menangani isu gaji yang adil, dengan kelayakan graduan semasa sesi soal jawab pada Program Himpunan Mesra Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bersama-sama Perdana Menteri di UiTM Shah Alam hari ini.

Ditanya mengenai isu pengurusan dan kelemahan UiTM Holdings Sdn Bhd pada sesi soal jawab itu, Anwar berkata perkara tersebut perlu dikaji terlebih dahulu, sebelum sebarang tindakan diambil.

Beliau berkata laporan berkaitan perkara itu akan turut diberi perhatian melalui kerjasama Naib Canselor UiTM, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Jabatan Perdana Menteri.

“Sila lihat tentang UiTM Holdings dan cari jalan bekerjasama dengan Naib Canselor dan Jabatan Perdana Menteri. Pejabat saya akan berikan kerjasama dan pandangan.

“Jangan kita hukum sekarang, kaji dulu apakah kelemahan biasa, itu diperbaiki, tukar orang. Berpuluh agensi kita tukar. Tetapi kalau betul ada kecurangan, mesti ambil tindakan,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata tatakelola yang baik amat penting khususnya dalam agensi Bumiputera bagi memastikan ia menjadi contoh kepada masyarakat.

“Saya lebih tegas dengan agensi Bumiputera. Betul, kerana ini patut jadi contoh,” katanya.

Pada 2023, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan penyelewengan yang mengakibatkan kerugian RM157 juta oleh UiTM Holdings Sdn Bhd.

Siasatan SPRM memberi fokus kepada beberapa isu, khususnya melibatkan dana dan beberapa pelaburan yang dibuat UiTM Holdings sehingga melibatkan kerugian jutaan ringgit.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved