Anwar serah Amirudin bincang kerjasama HARAPAN termasuk dengan Bersatu

LocalPolitics
20 Sep 2026 • 8:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Anwar serah Amirudin bincang kerjasama HARAPAN termasuk dengan Bersatu

SHAH ALAM, 20 SEPT: Pakatan Harapan (HARAPAN) menyerahkan kepada Pengarah Pilihan Rayanya Dato’ Seri Amirudin Shari untuk mengendalikan semua perbincangan berkaitan kerjasama politik, termasuk sekiranya membabitkan Bersatu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan buat masa ini kerana urusan tersebut telah diserahkan kepada Amirudin untuk tindakan selanjutnya.

“(Perbincangan kerjasama termasuk jika dengan Bersatu) yang itu, saudara Amirudin akan bincang,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis Bersama di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC), hari ini, lapor Berita Harian.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor.

Perkembangan itu menyusul laporan sebelum ini mengenai Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak menolak kemungkinan perbincangan kerjasama politik baharu turut membabitkan HARAPAN.

Muhyiddin turut dilaporkan mengesahkan beberapa perbincangan awal telah diadakan bersama beberapa parti politik dalam negara bagi merintis kerjasama untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi HARAPAN Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata dinamika politik semasa memungkinkan berlakunya pelbagai penjajaran politik dengan mengambil kira keunikan landskap politik di setiap negeri.

Menurutnya, perkembangan politik mutakhir tidak boleh dilihat dalam satu acuan kerana setiap negeri mempunyai keunikan serta dinamik politik masing-masing.

Perkembangan itu turut dapat dilihat di Melaka apabila HARAPAN negeri berunding dengan parti yang mempunyai aspirasi sama termasuk Bersatu bagi membentuk kerjasama PH Plus menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Dalam perkembangan sama, pendekatan PH Plus di Melaka dinyatakan tanpa membabitkan BN setakat ini, dengan laporan terbaharu menyebut belum ada rundingan diadakan dengan gabungan berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved