Tiada rundingan BN, PH fokus PH Plus – Adly Zahari

LocalPolitics
19 Sep 2026 • 3:02 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tiada rundingan BN, PH fokus PH Plus – Adly Zahari

MELAKA: Pakatan Harapan (PH) Melaka sedang meneruskan rundingan dengan beberapa parti lain bagi membentuk kerjasama PH Plus untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Pengerusinya, Adly Zahari berkata, rundingan berkenaan masih belum dimuktamadkan, termasuk jumlah parti yang bakal terlibat dalam kerjasama tersebut.

Menurutnya, keputusan untuk meneruskan formula PH Plus itu turut dibuat di peringkat pimpinan pusat menerusi mesyuarat Majlis Presiden PH.

“Melalui mesyuarat tersebut, kita dah mengambil beberapa ketetapan. Memang kita ada perundingan dengan parti-parti yang mempunyai aspirasi yang sama dengan kita, yang terkait dengan isu-isu tatakelola dan sebagainya.

“Tetapi secara umumnya, memang dalam Mesyuarat Presiden PH, kita dah bersetuju bahawa kita akan hadapi Pilihan Raya Negeri Melaka menggunakan formula PH Plus.

“Jadi perundingan PH Plus ini belum kita muktamadkan lagi, tetapi perundingan dalam PH membabitkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Amanah sudah diselesaikan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya Amanah Melaka di Duyong, hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu turut dihadiri Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Bagaimanapun, Adly enggan mendedahkan parti-parti lain yang masih dalam proses rundingan yang belum dimuktamadkan, walaupun sebelum ini ada menyatakan PH akan mengadakan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dalam pada itu, Adly menegaskan, PH Melaka setakat ini tidak mengadakan sebarang rundingan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN Melaka.

Dalam perkembangan sama Adly berkata, Amanah telah diperuntukkan lapan kerusi dalam pembahagian dalaman PH, namun hanya empat kerusi telah dimuktamadkan untuk ditandingi parti itu setakat ini.Katanya, baki kerusi akan dibincangkan semula dalam rundingan PH Plus kerana kemungkinan berlaku pertukaran atau penyusunan semula kerusi antara parti yang bekerjasama.

“Amanah dalam konteks Pakatan Harapan diberikan keseluruhan lapan kerusi. Bila berbincang dengan PH Plus, kita mungkin ada tolak ansur.

“Perundingan ini memang kena ada give and take. Yang dah kita muktamadkan adalah empat dalam konteks Amanah. Yang selebihnya kita akan bincangkan berdasarkan perbincangan PH Plus,” katanya.

Katanya, empat kerusi yang dimuktamadkan untuk Amanah ialah Bukit Katil, Durian Tunggal, Telok Mas dan Merlimau.

“Empat DUN yang lain diperuntukan kepada kita ialah Pantai Kundor, Kuala Linggi, Sungai Rambai dan Taboh Naning itu bergantung kepada keputusan PH Plus,” ujarnya. – UTUSAN

The post Tiada rundingan BN, PH fokus PH Plus – Adly Zahari appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved