Anwar sudah hilang sokongan bukan Melayu?

Opinion
23 Apr 2025 • 8:00 AM MYT
TheRealNehruism
TheRealNehruism

An award-winning Newswav creator, Bebas News columnist & ex-FMT columnist.

image is not available
Image Credit: The Sun Daily/BERNAMA

Dua tahun lalu, sejurus selepas Anwar menang PRU 15, ketika saya mula menceburi dunia penulisan dengan menjadi pengkritik Anwar, seorang rakan saya — seorang pemandu lori India dari golongan pekerja — sering berdebat dengan saya tentang betapa bagusnya kerja yang dilakukan oleh Anwar, sambil melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadapa kecenderungan saya untuk mencari kesalahan Anwar tanpa memberi perhatian yang sewajarnya therhadap kelebihan dan kejayaannya.

Itu dua tahun yang lalu.

Terkini, saya sudah lama tidak mendengar apa-apa pujian daripada rakan saya itu terhadap Anwar. Kali terakhir kami berbual, saya telah mengingatkan dia bahawa dia dahulu cukup kritikal terhadap kritikan saya terhadap Anwar, tapi kali ini, dia hanya membalas peringatan saya dengan diam seribu bahasa.

Rasa tidak puas hati rakan saya terhadap pemerintahan Anwar ini sebenarnya, bukanlah satu perkara yang janggal. Hari ini, sukar untuk saya berjumpa dengan mana-mana individu dari kaum India atau Cina yang mempunyai pandangan yang positif terhadap pemerintahan Anwar. Dua tahun lalu, jika saya mengatakan apa-apa yang negatif tentang Anwar, kaum India dan Cina yang saya kenal akan segera menyanggah saya , dengan mengatakan saya terlalu keras, atau Anwar perlukan lebih masa, atau penyelewangan dan salahlaku selama 60 tahun tidak boleh dibaiki dalam masa yang singkat, atau terus beredar apabila saya mula menghuraikan kepada mereka tentang mengapa Anwar bukanlah seperti yang mereka sangka. Tetapi hari ini, cukup sudah sekiranya saya memberikan sedikit kritik tentang pemerintahan Anwar, dan individu dari golongan Cina dan India yang dahulunya peminat tegar Anwar akan mengambil alih kritikan saya dan menyenaraikan satu demi satu tentang apa yang tidak kena dengan Anwar.

Bukan saya sahaja yang menyedari penurunan sokongan yang ketara terhadap Anwar dalam kalangan bukan Melayu.

Profesor Tajuddin Rasdi, dalam artikelnya yang sinis bertajuk “ 4 reasons why PN should rule Malaysia”, turut menyentuh perkembangan ini. Melihat kepada ketidakpuasan hati yang meluas terhadap kerajaan perpaduan — baik dari Melayu mahupun bukan Melayu — Tajuddin memberikan empat alasan sinis tentang apa yang boleh kita jangkakan sekiranya kita tinggalkan Anwar dan kerajaan perpaduan, dan mengalihkan sokongan kita terhadap pembangkang.

Namun bagi saya, walaupun saya rasa sokongan bukan Melayu terhadap Anwar memang telah merosot berbanding sokongan yang mereka tunjukkan pada awal pemerintahannya, jika pilihan raya diadakan hari ini, saya rasa Anwar tidak perlu risau — suka atau tidak, dia lah satu-satunya pemimpin yang mereka rasa berada di pihak mereka. Walaupun mereka kecewa dan marah padanya, bila berdiri di depan kotak undi, saya yakin mereka tetap akan memilih Anwar dan parti yang deterajuinya.

Manusia suka menyokong si pencabar, tetapi akhirya mereka akan mengundi si pemenang.

Anwar bukan sahaja seorang juara , tapi dia juga adalah satu-satunya pemimpin dalam negara ini yang bukan Melayu rasa ada di pihak mereka.

Isu seperti kontroversi DJ Era FM, kontroversi sandwic ham di KK Mart, atau isu pemindahan kuil di Jalan Masjid India mungkin menimbulkan keraguan di kalangan bukan Melayu tentang pihak mana yang Anwar sokong, tetapi memandangkan bahawa tanpa Anwar, yang kita ada sebagai pilihan hanyalah PN yang di terajui PAS, sukar untuk kita lihat bagaimana Anwar akan hilang sokongan bukan Melayu — sekurang-kurangnya di peringkat nasional.

Di peringkat tempatan, ada kemungkinan bukan Melayu akan menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap Anwar dan kerajaan perpaduan, dengan mengundi pihak pembangkang pada pilihan raya kecil, tetapi bila tiba pilihan raya umum, saya cukup yakin mereka akan kembali untuk menyokong Anwar.

Tiada satu pun kerajaan demokrasi di dunia yang mampu mengekalkan sokongan pengundi selepas menang pilihan raya.

Sebelum menang pilihan raya, ketika sebuah parti politik hanya mempunyai potensi, rakyat mungkin boleh menaruh harapan pada mereka.

Namun selepas menang, apabila sebuah parti politik menggunakan kuasa yang diraihnya untuk mengubah potensinya menjadi realiti, mereka hampir pasti akan kehilangan harapan yang rakyat letakkan terhadap mereka, kerana realiti akan memaksa mereka untuk menghampakan rakyat.

Ini lebih ketara di Malaysia, apabila setiap kumpulan identiti — sama ada berdasarkan kaum, agama atau wilayah — cenderung untuk percaya bahawa mereka telah dianiaya dan diperlakukan secara tidak adil, kerana mereka terlalu baik atau banyak memberi laluan kepada orang lain.

Memandangkan hampir semua kumpulan identiti di Malaysia cenderung melebih-lebihkan jasa mereka, sambil menafikan kelemahan mereka serta memperkecilkan sumbangan yang mereka terima daripada negara dan kumpulan identity lain, maka tidak kira sama ada Anwar atau Muhyiddin, Hadi atau Zahid yang membentuk kerajaan, mereka hampir pasti akan ditolak oleh majoriti rakyat Malaysia, kerana setiap kali mereka cuba memuaskan hati satu kumpulan, kumpulan lain pasti akan tidak berpuas hati.

Dengan keadaan ini, strategi terbaik untuk berjaya dalam landskap politik Malaysia hari ini , ialah dengan membuat semua orang tidak puas hati dengan anda — tetapi mengawal aras ketidakpuashatian mereka, agar tidak menjadi terlalu teruk, sehingga mereka rasa anda tidak lagi berpihak kepada mereka.

Bahawasanya bukan Melayu semakin tidak berpuas hati dengan pemerintahan Anwar, mungkin bukan satu perkembangan yang negative bagi Anwar dan kerajaan perpaduan.

Sebelum ini, Melayu yang tidak senang dengan Anwar dan kerajaan perpaduan, walhal bukan Melayu pula amat menghargai mereka.

Kini apabila bukan Melayu mula semakin kurang senang pada mereka, kemungkinan besar orang Melayu pula akan mula berjinak dengan mereka.

Jika Anwar dapat mengimbangi keadaan ini dengan baik, saya yakin dia boleh mencapai titik keseimbangan di mana orang Melayu cukup senang padanya untuk tidak menganggap dia sebagai tidak berpihak kepada mereka, sekali gus menambah peratusan sokongan Melayu terhadap PH, tanpa membuat bukan Melayu terlalu tidak senang kepadanya, sampai menyebabkan PH kehilangan sokongan mereka.

Sokongan bersih yang mungkin dia akan dapat raih daripada kejayaannya mengimbangi sokongan Melayu dan bukan Melayu ini, di tambah dengan kelebihan yang dimilikinya sebagai penyandang kerajaan semasa, dan di tolak kerugian yang dialami pembangkang kerana gagal mengimbangi sokongan Melayu dan bukan Melayu terhadap mereka, serta penurunan sokongan terhadap pembangkang akibat kejayaan kerajaan dalam menekan dan mengkucar kacirkan barisan pihak pembangkang — saya rasa jika pilihan raya diadakan hari ini, Anwar masih akan menang, walaupun tiada siapa benar-benar menyukainya, semata-mata kerana tiada siapa yang cukup tidak senang dengannya untuk menganggap dia menentang mereka, atau bukan sebahagian daripada mereka.


TheRealNehruism adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.