
PASIR MAS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyumbangkan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah Pondok Lubok Tapah di sini hari ini bagi membantu usaha penyelenggaraan dan baik pulih institusi pendidikan Islam berkenaan.
Sumbangan menerusi Projek Penyelenggaraan dan Baik Pulih Institusi Pendidikan Islam Negeri Kelantan 2026 itu diserahkan kepada Pengerusi madrasah, Prof. Madya Datuk Dr. Luqman Abdullah.
Anwar tiba di pondok pengajian berkenaan diiringi Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusof Mamat.
Beliau turut meluangkan masa hampir sejam untuk beramah mesra serta menyantuni warga madrasah sebelum menunaikan solat maghrib di situ.
Dalam perkembangan berkaita, Anwar berkata, kerajaan sedang meneliti usaha mewujudkan laluan pendidikan baharu bagi membolehkan pelajar pondok melanjutkan pengajian hingga ke peringkat universiti.
Katanya, cadangan berkenaan termasuk menyesuaikan sistem pengajian pondok supaya mempunyai laluan tersusun ke peringkat pendidikan tinggi.
“Mungkin kita ikhtiar mencari satu jalur baharu iaitu daripada pondok dan ubah suai dan perbaiki mana-mana yang perlu, tetapi sistem itu dapat berkembang hingga ke peringkat tertinggi universiti,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Anwar sumbang RM200,000 bantu Pondok Lubok Tapah appeared first on Kosmo Online.





