Anwar tempelak pihak tunggang agama, Melayu semai kebencian

LocalPolitics
27 Sep 2026 • 1:26 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Anwar tempelak pihak tunggang agama, Melayu semai kebencian

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak pihak yang menggunakan nama Islam dan Melayu sebagai modal perjuangan, namun mengetepikan soal akhlak, idealisme serta prinsip dalam gerakan.

Beliau berkata, perjuangan berteraskan Islam tidak seharusnya dibina atas kemarahan, kebencian, fitnah dan cacian, sebaliknya perlu dipandu ilmu serta tradisi akliah yang mampu menyedarkan masyarakat.

“Islam tidak bangkit hanya dengan ledakan semangat, emosi dan sentimen, tetapi dengan kekuatan ilmu yang menyedarkan dan menginsafkan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Makan Malam Apresiasi 3 Generasi anjuran Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Bangi bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail semalam.

Majlis berkenaan turut meraikan delegasi The Union of NGOs of The Islamic World (UNIW) yang hadir pada acara tersebut.

Anwar berkata, gerakan kesedaran atas nama Islam akan menjadi tempang sekiranya hanya berpaksikan semangat kemarahan dan menghalalkan adu domba.

Menurut beliau, perjuangan mana-mana gerakan yang membawa nama Islam akhirnya akan dinilai berdasarkan pelaksanaan dan akhlak perjuangannya, bukan sekadar slogan.

“Apa ertinya parti atau gerakan Islam sekiranya bergerak dengan meninggalkan prinsip akhlak, penuh dengan kebencian serta menjadikan fitnah dan cacian sebagai senjata dan wirid harian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan usrah dan tradisi turath Islami sebagai panduan dalam membentuk gerakan serta perjuangan yang berteraskan ilmu.

Katanya, gerakan Islam juga perlu tegas dalam memerangi rasuah, menentang pemikiran takfiri dan usaha membasmi kemiskinan tegar, selain terus mempertahankan adab, akhlak serta menghormati kepelbagaian masyarakat dan kebangsaan.- KOSMO! ONLINE

The post Anwar tempelak pihak tunggang agama, Melayu semai kebencian appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved