Anwar Tiba Di Istana Negara Untuk Upacara Angkat Sumpah PM-10

Politics
24 Nov 2022 • 4:51 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kenderaan membawa Anwar tiba di Istana Negara. - Gambar oleh Azim Rahman

KUALA LUMPUR - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Istana Negara untuk Istiadat Mengangkat Sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10. 

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun dilihat memasuki pekarangan Istana Negara dengan diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada jam 4.32 petang. 

Beliau dijadual mengangkat sumpah bagi jawatan orang nombor satu kerajaan itu pada jam 5 petang ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10. 

Keputusan tersebut dikeluarkan selepas sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pagi ini. 

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, setelah memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda memberi perkenan terbabit. 

Menurutnya, ia selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan.  - Getaran, 24 November 2022