
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa untuk meninjau persiapan terakhir Belanjawan Madani Keempat di Kementerian Kewangan petang ini.
Dalam kesempatan berkenaan, Perdana Menteri sempat beramah mesra dengan warga kementerian serta menandatangani dokumen-dokumen penting berkaitan Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, esok.
“Insya-Allah, usaha memperkukuh ekonomi dan menjaga kesejahteraan rakyat akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Madani,’’ katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Dalam pada itu, ketika ditemui media, Anwar memohon semua rakyat Malaysia mendoakan agar pembentangan Belanjawan 2026 esok berjalan lancar.
"Doakan semuanya selamat, insya-Allah," katanya.
Beliau dijangka membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen, pada jam 4 petang esok.
Seramai 320 pegawai dan kakitangan MOF daripada pelbagai bahagian termasuk Bahagian Cukai, Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Bahagian Antarabangsa, Bahagian Pejabat Belanjawan Negara dan Pasukan Bajet terlibat dalam penyediaan dokumen belanjawan tersebut.
Terdahulu, ketika memberikan taklimat berhubung Belanjawan 2026 kepada media di Putrajaya semalam, beliau memberitahu, pembentangan Belanjawan itu disifatkan sebagai usaha berterusan bagi memperkukuh ekonomi rakyat serta memacu pertumbuhan negara.
“Insya-Allah, belanjawan kali ini adalah satu ikhtiar untuk memastikan kemakmuran dapat dirasai secara adil dan saksama oleh semua lapisan masyarakat,” katanya. - 9 Oktober, 2025
The post Anwar tinjau persiapan akhir Belanjawan 2026 ‘doakan semuanya selamat’ appeared first on Scoop.
