Anwar tunai jemputan Muadz, hadiri Karnival Anak Malaysia

LocalPolitics
14 Nov 2026 • 3:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Anwar tunai jemputan Muadz, hadiri Karnival Anak Malaysia
Anwar ketika menghadiri Karnival Anak Malaysia anjuran SK Polis Depot di Kuala Lumpur pada Sabtu. - FOTO: Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Hasrat seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Polis Depot untuk melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri program di sekolahnya menjadi kenyataan apabila pemimpin nombor satu negara itu meluangkan masa mengunjungi Karnival Anak Malaysia anjuran sekolah berkenaan pada Sabtu. 

Anwar berkata, meskipun mempunyai jadual tugas yang padat, beliau tetap meluangkan masa memenuhi undangan murid yang dikenali sebagai Muadz itu, selain turut memanfaatkan kunjungan singkat itu untuk meninjau sendiri keperluan infrastruktur dan keselamatan warga sekolah berkenaan.

"Alhamdulillah, terkejut juga tengok meriahnya karnival ini, dah macam hari keluarga! Seronok tengok anak-anak bersemangat menyertai pelbagai aktiviti, ada berpakaian seperti polis, tentera dan bomba, di samping ibu bapa pun turut sama memeriahkan karnival anjuran sekolah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Anwar berkata, ketika mengunjungi sekolah terletak di kawasan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak itu, beliau turut meluangkan masa mendengar sendiri daripada guru besar tentang beberapa perkara yang memerlukan perhatian, khususnya keadaan kemudahan sekolah serta keselesaan dan keselamatan murid. 

"Insya-ALLAH, saya akan teliti perkara yang dibangkitkan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Muadz dan seluruh warga sekolah atas sambutan mesra yang diberikan, selain menitipkan pesanan agar generasi muda terus bersemangat menuntut ilmu demi masa depan negara.

"Saya doakan kalian berjaya dalam mengejar cita-cita serta suatu hari nanti dapat berbakti kepada masyarakat dan negara,” katanya. - Bernama

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved